Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia nafi dakwaan layanan tidak perikemanusiaan terhadap pelarian Rohingya
M’sia nafi dakwaan layanan tidak perikemanusiaan terhadap pelarian Rohingya
Gesa negara asal pelarian, pertubuhan antarabangsa, aktivis main peranan cari penyelesaian mampan
M’sia nafi dakwaan layanan tidak perikemanusiaan terhadap pelarian Rohingya
Isu lambakan pelarian Rohingya yang semakin hangat diperkatakan di media sosial telah mencetuskan desakan orang ramai agar kerajaan mengambil tindakan drastik, termasuk memindahkan komuniti berkenaan keluar dari Malaysia.
Ketegangan itu memuncak selepas seorang aktivis Rohingya, Cik Noor Azizah, mendakwa nasib pelarian di negara itu tidak terbela.
Dalam video yang tular sejak 14 Jun, beliau mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan terpaksa membesar di sebalik jeriji besi.
Selain menyentuh pengalaman pahit etnik berkenaan, beliau turut membangkitkan isu yang dihadapi komuniti itu di negara serantau seperti Indonesia dan Thailand.
Dakwaan tersebut mengundang reaksi negatif daripada warga Malaysia yang merasakan usaha negara menyediakan perlindungan selama puluhan tahun seolah-olah tidak dihargai, malah dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas.
Sentimen itu diperburukkan lagi dengan tularnya video yang memaparkan perlakuan agresif sebahagian warga Rohingya yang didakwa mengganggu ketenteraman awam.
Susulan itu, pakar mencadangkan agar aktivis antarabangsa lebih fokus mendesak Myanmar memulihkan hak serta kewarganegaraan etnik tersebut, bukannya menuding jari kepada negara yang menyediakan perlindungan sementara kepada komuniti berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan rasmi pada 16 Jun, menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Malaysia melayan kanak-kanak migran secara tidak berperikemanusiaan.
KDN menjelaskan kemasukan tidak sah, penyeludupan migran, dan pemerdagangan orang merupakan isu keselamatan serta kemanusiaan kompleks yang merentas sempadan.
KDN menyeru semua pihak, termasuk negara asal dan pertubuhan antarabangsa, untuk memainkan peranan lebih tegas dalam mencari solusi yang mampan..
“Tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, tetapi juga kepada usaha menangani punca sebenar migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah apabila keadaan mengizinkan,” tegas KDN.
KDN menegaskan dakwaan kanak-kanak diabaikan tidak menggambarkan realiti usaha kerajaan dalam menguruskan migrasi secara bertanggungjawab.
Bagi memastikan kebajikan kanak-kanak bawah 12 tahun terjaga, kerajaan menubuhkan Baitul Mahabbah sebagai pusat jagaan sementara, selain menggerakkan inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak.
Setakat 28 Februari, sebanyak enam pusat Baitul Mahabbah telah beroperasi dan menempatkan 188 kanak-kanak dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Langkah itu membolehkan mereka dipindahkan daripada depot tahanan biasa, sambil menerima pendidikan tidak formal, penjagaan kesihatan, dan bimbingan asas sementara proses dokumentasi diselesaikan.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka,” katanya.
