Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BN diramal kekal kerusi DUN Mahkota, Johor, pada pilihan raya kecil

BN, PN masing-masing sudah umum calon rebut kerusi pada 28 Sept
Sep 11, 2024 | 4:25 PM
Blok politik kerajaan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 tahun, sebagai calon Kerajaan Perpaduan untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di Johor, pada 28 September depan.
Blok politik kerajaan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 tahun, sebagai calon Kerajaan Perpaduan untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di Johor, pada 28 September depan. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

Satu lagi pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan pada 28 September depan, dengan kali ini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di Johor, susulan kematian penyandangnya, Allahyarhamha Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64 tahun.

Menjelang hari penamaan calon pada 14 September, setakat ini dua calon daripada blok politik dominan, yang masing-masing mewakili kerajaan dan pembangkang, telah diumumkan parti masing-masing.

Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan legasi parti itu di kerusi berkenaan mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 tahun, sebagai calonnya.

Gabungan pembangkang pula menamakan bekas pemain bola sepak Johor, Encik Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun, yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang, sebagai taruhan dalam cubaan Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi berkenaan.

Walaupun awalnya timbul perebutan tuntutan untuk meletakkan calon di kerusi DUN Mahkota antara parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan Parti Amanah Negara (Amanah), muafakat antara pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) akhirnya memuktamadkan pemilihan Syed Hussien sebagai calon.

BN-PH diramal tidak sukar mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota, mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022 yang mana BN memperoleh lebih 16,000 undi, sementara PH memperoleh lebih 11,000 undi.

PN pula hanya menang 7,614 undi, dalam pertandingan empat penjuru pada PRN itu.

Permulaan Syed Hussien menggalas amanah diberikan parti agak mencabar, lantaran beliau diuji dengan pemergian bapa, Allahyarham Syed Abdullah Syed Abdul Hamid, 67 tahun, selepas ditidurkan atas saranan doktor di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Difahamkan Allahyarham adalah pejuang barah dan merupakan mantan Naib Ketua Umno Bahagian Kluang.

Encik Mohamad Haizan, tokoh sukan yang dikenali ramai sebagai ‘Coach Haizan’ pula dilihat perlu bekerja keras untuk membantu PN menawan kerusi DUN Mahkota.

Lawannya dari BN masih muda, selain sejarah kerusi berkenaan yang pernah menjadi kubu kuat dan dikuasai Umno selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004, menjadi cabaran buat PN.

Kerusi DUN Mahkota jatuh ke tangan PH menerusi calon Amanah yang bertanding atas logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Muhammad Said Jonit, ketika BN kali pertama berdepan kekalahan teruk dalam PRU14, pada 2018.

Namun, kerusi itu kembali kepada BN menerusi Datuk Sharifah Azizah , 63 tahun, merangkap Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang sejak 1993 dan mantan Ketua Wanita Umno Johor, dalam PRN Johor.

Allahyarhamha Datuk Sharifah Azizah yang pernah menjadi Adun Penawar di Johor dari 2018 hingga 2022, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman ketika dirawat di HEBHK, Kluang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg