Terdapat kelainan kali ini pada Perhimpunan Agung Umno 2024 yang berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos.
Rata-ratanya pemimpin dan perwakilan lebih bersemangat dan meniup gendang perjuangan yang dilihat sebagai reaksi kegembiraan selepas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini dengan majoriti lebih besar.
Apabila meneliti ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika perasmian dan penggulungan, adalah jelas beliau mengatakan bahawa dinamik politik nasional sudah berubah sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Mengambil kira apa yang berlaku di luar negara terhadap parti Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun, Parti Rakyat India (BJP) dan Encik Prabowo Subianto melalui parti Gerindra di Indonesia, semua parti itu memerlukan gabungan parti lebih besar untuk kekal memerintah.
Itu juga berlaku kepada Umno dan BN pada 2022. Satu kerajaan campuran dan gabungan parti lebih besar digelar Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi menstabilkan politik Malaysia.
Bagi membolehkan Umno dan BN menjadi dominan serta dalam kedudukan tawar-menawar politik lebih kuat, Umno perlu bersatu dan memenangi sebanyak mungkin kerusi yang ditandingi pada PRU akan datang.
Maka, minda dan jiwa orang Melayu terutama sekali harus dimenangi untuk menjadikan Umno terus dipotretkan sebagai parti tunjang pejuang nasib orang Melayu.
Bagi memenangi jiwa orang Melayu, Umno harus kekal sebagai parti berhaluan sederhana atau pertengahan. Sejak merdeka hingga kini, Umno tidak pernah menjadi ekstrem dan sanggup memanipulasi agama, bangsa dan institusi raja demi kepentingan sempit perjuangan parti.
Oleh itu, Umno terus mempertahankan semua hak orang Melayu dan memastikan bangsa Melayu terus makmur. Di samping itu, dengan mengekalkan pendekatan haluan sederhana, Umno pasti diterima seluruh rakyat pelbagai kaum.
Selepas hampir dua tahun Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan, ia jelas menampakkan Umno sudah kembali diterima rakyat dan bertambah kukuh.
Maka, sudah sampai masanya Umno menyusun langkah melalui agenda tersusun bagi memenangi hati rakyat, khususnya orang Melayu, yang sering terpengaruh oleh sentimen politik sempit yang dimainkan pembangkang untuk memburukkan imej Umno.
Umno kini jelas mempunyai agenda khusus dan harus menggerakkan seluruh pejuangnya di seluruh negara.
Jelas Umno terkehadapan dalam soal dasar ini berbanding parti pembangkang, yang masih tercari-cari hala tuju masa hadapan politik mereka kerana terlalu taasub bermain isu sentimen sebagai jalan pintas mendapat sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.
Maka, lima fokus agenda digariskan mampu memperkuatkan Umno untuk tiga tahun ini sebelum PRU16 kelak.
Pertama, agenda pengislahan (mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai) generasi masa hadapan, khususnya gerakkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) agar mampu mempersiapkan generasi pemimpin akan datang melalui pendidikan pada pelbagai peringkat.
Kedua, agenda pemberdayaan wanita adalah penting kerana gerak kerja Umno banyak diperkuatkan sayap Wanita dan Puteri. Oleh itu, hak dan kepentingan wanita akan terus diperjuangkan Umno, khususnya melalui agenda Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketiga, agenda pendidikan anak muda dimantapkan melalui TVET dan merancakkan ekonomi gig.
Keempat, agenda pemantapan transformasi ekonomi Bumiputera diteruskan melalui dasar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). Ini satu agenda besar yang mampu meningkatkan lagi mobiliti sosial dan status ekonomi Melayu serta Bumiputera pada keseluruhannya.
Kelima, politik digital harus dikuasai Umno untuk memastikan BN berjaya mendominasi naratif lebih mesra yang mendukung kehendak dan dasar Kerajaan Perpaduan dan BN secara khasnya.
Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selain pendidikan tinggi akan dimantapkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), pertembungan politik pada masa akan datang juga digerakkan teknologi AI.
Justeru, Umno harus bersiap sedia menghadapi cabaran politik berasaskan AI ini pada masa depan supaya tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global terkini.
Bagi memperkuatkan semula Umno, parti keramat ini harus bersatu padu dan memberikan satu fokus, dasar dan agenda jelas untuk memenangi hati orang Melayu.
Pada asasnya, Umno mempunyai peluang baik jika terus bersama Kerajaan Perpaduan kerana kepimpinannya sekarang memberikan ruang dan peluang untuk Umno terus memperjuangkan agenda Melayu Islam.
Sementara itu, perwakilan dan akar umbi yang hadir perhimpunan agung kali ini menyedari bahawa presiden Umno bertanggungjawab mempertahankan Umno daripada dibubarkan dan menyatupadukan parti itu serta BN sebelum ini hingga ia menang cemerlang pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor serta siri PRK lalu.
Banyak imej negatif terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga direka musuh Umno bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap Umno.
Selepas kemenangan di Nenggiri, ramai memberi keyakinan kepada beliau untuk terus memimpin Umno dan memberikan mandat kepadanya untuk memperkuatkan semula parti serta BN, yang sangat memerlukan dukungan semua perwakilan dan ahli Umno.
Sedutan rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg