Calon-calon Barisan Nasional (BN) di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Kota Tinggi optimis mengekalkan sokongan pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil memberi tumpuan kepada penyelesaian isu setempat termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan dan pembangunan infrastruktur.

Calon BN DUN Tanjung Surat, Encik Aznan Tamin, berkata kempen di kawasannya berlangsung dalam suasana harmoni dengan tumpuan diberikan kepada pendekatan turun padang bagi mendekati pengundi di semua 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, pihaknya telah mengunjungi semua PDM dan kawasan tumpuan, selain meneruskan program seperti ziarah kasih, kempen dari rumah ke rumah serta sesi bersama golongan belia.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima agak memuaskan kerana rakyat melihat sendiri usaha Kerajaan Negeri sepanjang empat tahun lalu dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu mereka.

“Pada minggu terakhir kempen, strategi kami kekal sama iaitu memperbanyakkan pertemuan dengan pengundi supaya mereka dapat merasai kehadiran calon dan memahami hala tuju yang ingin dibawa,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Encik Aznan berkata sekiranya diberi mandat semula, beliau mahu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan industri minyak dan gas serta sektor eko-pelancongan yang menjadi kekuatan DUN Tanjung Surat.

Menurutnya, usaha memperkemaskan kemudahan pelancongan termasuk kawasan perkhemahan, di samping menambah baik infrastruktur, akan diteruskan bagi menyokong agenda Maju Johor 2030.

Sementara itu, calon BN DUN Penawar, Cik Fauziah Misri, berkata sebagai penyandang, beliau menggunakan pendekatan mendekati seramai mungkin pengundi menerusi sesi ziarah kasih serta pertemuan di warung dan kedai kopi.

“Penduduk di DUN Penawar sudah mengenali saya. Kali ini saya mahu meluangkan lebih banyak masa bertemu mereka secara dekat bagi mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata lima tahun akan datang amat penting dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan dapat diteruskan, khususnya pembinaan sekolah baharu bagi mengatasi masalah kesesakan murid di Bandar Penawar.

Selain itu, katanya, pembangunan infrastruktur di kawasan Felda turut menjadi antara keutamaan yang akan terus diperjuangkan sekiranya beliau dipilih semula sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, calon BN DUN Johor Lama, Cik Norlizah Noh, berkata kempen kini memasuki fasa kedua dengan sambutan yang semakin menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Beliau berkata tumpuan pada minggu terakhir kempen adalah untuk bertemu seramai mungkin pengundi sambil menjelaskan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang empat tahun lalu.

“Kami mahu rakyat menilai rekod pencapaian kerajaan negeri yang telah melaksanakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Kasih Johor, walaupun ia tidak termaktub dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

“Rekod pencapaian inilah yang menjadi asas untuk kami memohon mandat baharu daripada rakyat,” katanya.

Menurut Cik Norlizah, antara agenda utama yang akan diberi perhatian sekiranya diberi kepercayaan semula ialah pembinaan Rumah Mampu Milik Johor di DUN Johor Lama bagi memenuhi keperluan golongan muda memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata isu berkenaan telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri serta Mesyuarat Tindakan Daerah bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai memandangkan kawasan itu masih belum mempunyai projek perumahan mampu milik.