KUALA LUMPUR: Umno bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen parti itu dalam memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Beliau berujar bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor memberi isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa, yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum, katanya dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Oktober.
Mesyuarat itu dipengerusikan presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi BN.
Datuk Asyraf menambah bahawa mesyuarat itu juga menzahirkan penghargaan kepada pengundi di DUN Mahkota bagi kepercayaan yang mereka beri kepada BN hingga memenangi kerusi itu dengan majoriti amat besar.
“Umno merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota,” katanya.
Mesyuarat itu juga menegaskan bahawa kemenangan di PRK itu tidak harus menjadikan Umno angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberi rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.
BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Mohamad Haizan Jaafar.
Dalam pada itu, Datuk Asyraf berkata ahli Umno di semua peringkat diminta berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi Umno sejak dulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam, khususnya dalam musim tengkujuh yang mendatang.
Kemas kini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat malam 7 Oktober merekodkan beberapa kawasan di enam negeri, iaitu Kedah, Perak, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka dan Selangor, dinaiki air, menyebabkan 1,553 mangsa daripada 416 keluarga dipindahkan ke 20 pusat pemindahan sementara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg