PUTRAJAYA: “Tak perlu minta maaf. Jangan usik rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus hormat antara satu sama lain”.
Itulah teguran Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika diminta mengulas mengenai gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mahu Pakatan Harapan (PH) mohon maaf secara terbuka kepada Umno susulan serangan terbuka terhadap parti itu berdekad lalu.
Datuk Dr Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kenyataan berhubung gesaan memohon maaf itu sama sekali tidak mewakili pendirian Umno.
Malah, katanya, isu itu tidak dibangkitkan, dan beliau meminta pemimpin Umno tidak sesekali menimbulkan sebarang provokasi berhubung perkara itu lagi.
“Itu adalah kenyataan Nur Jazlan atau Dr Akmal (Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh).
“Selagi presiden atau ketua parti tak keluarkan sebarang kenyataan, itu adalah berbentuk peribadi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di sini pada 8 Oktober.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Nur Jazlan berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September menunjukkan tiada satu pun parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam gabungan itu.
Datuk Dr Ahmad Zahid berkata perbezaan pandangan dan serangan antara pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan kerjasama baik yang dibina bersama.
Menurut Datuk Dr Ahmad Zahid, beliau sudah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kepimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan isu terbabit.
“Tadi, sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri selain presiden, pengerusi dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan.
“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan mesti berjalan ke depan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja kemungkinan, termasuk PRK atau Pilihan Raya Umum,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg