KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada 28 September mengundang cadangan oleh beberapa pihak supaya BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Bagaimanapun, pimpinan BN buat masa ini tidak melihat keperluan merealisasikan cadangan itu bagi memberi tumpuan untuk pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terus berjalan lancar sehingga tamat penggal.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dalam konteks di Johor buat masa ini, adalah lebih penting untuk BN dan PH mengambil peluang saling mengenali secara lebih mendalam terlebih dahulu.
“Biar masa menentukan... yang penting, mula mengenali dengan lebih mendalam antara satu sama lain,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau mengulas cadangan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Encik Hasbie Muda, yang dipetik sebagai berkata bahawa Kerajaan Perpaduan perlu diwujudkan di Johor bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat.
Pada PRK Mahkota, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi, pertambahan majoriti empat kali ganda berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.
Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya, Encik Mohamad Haizan, yang sekadar meraih 7,347 undi.
Kemenangan BN di PRK Mahkota juga disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai petanda pengundi memberi sokongan luar jangka kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus memberi tumpuan dalam membangunkan ekonomi negara.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tiada keperluan untuk memaksa kepimpinan kerajaan BN di Johor membentuk kerjasama perpaduan bersama PH buat masa ini.
Menurut beliau, ini kerana kerajaan Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz dan barisan Exco sudah terbukti mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga menyumbang kepada kemenangan PRK DUN Mahkota.
“Atas dasar itu, momentum berkenaan perlu diteruskan sehingga habis penggal pentadbiran sedia ada. Jangan letakkan tekanan kepada Menteri Besar kerana kepimpinannya terbukti sangat baik dalam menjalankan tanggungjawab menjaga negeri Johor,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarhamha Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos, akibat pendarahan dalaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg