Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN mungkin tidak kekalkan pendekatan ‘kerusi tradisi’ dalam PRN N. Sembilan
BN mungkin tidak kekalkan pendekatan ‘kerusi tradisi’ dalam PRN N. Sembilan
BN mungkin tidak kekalkan pendekatan ‘kerusi tradisi’ dalam PRN N. Sembilan
SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) berkemungkinan membuat perubahan untuk tidak mengekalkan ‘kerusi tradisi’ dalam pembahagian kawasan yang ditandingi parti itu, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata langkah itu berikutan komposisi pengundi di kebanyakan kawasan yang banyak berubah ketika ini.
“Kita mahu melihat semula dan kalau boleh, kita nak ubah suai supaya bagi peluang pula untuk parti dalam kumpulan komponen BN, untuk bertanding di kawasan yang rasa mereka boleh menang,” katanya.
Ini berbanding cara sebelum ini dengan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan kerusi tradisi parti-parti tertentu dalam BN.
“Jadi, ia tidak memberi ruang dan tidak memberi pengundi peluang untuk mereka memilih (parti yang dimahukan mereka).
“Ini pandangan saya selaku Pengerusi BN Negeri Sembilan. Jadi kita boleh buat pertukaran kerusi (DUN) atau pertukaran lain kerana kita mesti bagi peluang kepada pengundi.
“Kalau (undi) semakin merosot, mengapa kita nak bagi kepada parti yang sama bertanding di tempat yang sama?
“Boleh jadi kita tukar kerusi tapi kita cuba sesuaikan sebanyak mungkin kepada semua rakan dalam komponen BN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau, Negeri Sembilan, pada 5 Julai.
Datuk Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata keputusan pilihan raya sebelum ini, akan dijadikan panduan dalam menilai corak sokongan pengundi serta perubahan demografi di setiap kawasan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi dan senarai calon komponen termasuk Friends of BN, tertakluk kepada keputusan Dewan Tertinggi BN peringkat pusat.
Beliau berkata semua ketua bahagian diarah mengemukakan senarai calon masing-masing mengikut prosedur yang ditetapkan dengan sekurang-kurangnya tiga calon bagi setiap kerusi.
“Kita akan buat segera kerana kita nak umumkan nama calon pada 15 Julai semasa kita melancarkan jentera pilihan raya BN, kita tak banyak masa lagi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Mohamad berkata BN tidak boleh berdepan sebarang pertelingkahan dalaman menjelang pilihan raya, kerana pengalaman lepas menunjukkan beberapa kerusi tewas akibat sabotaj dalam kalangan ahli sendiri.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004, namun berkata perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal ditetapkan pula pada 28 Julai.
