Topik diikuti
Pergi ke BHkuHanya Agong ada kuasa batal pelantikan Azam dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional
Hanya Agong ada kuasa batal pelantikan Azam dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional
Hanya Agong ada kuasa batal pelantikan Azam dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional
KUALA LUMPUR: Pembatalan keanggotaan mantan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Anwar berkata buat masa ini pelantikan Tan Sri Azam ke dalam NFCC itu sah sehingga 2027.
“Soal ini, pelantikannya terpakai sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanyalah boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Ia tidak terkait dengan (status) sebagai Ketua SPRM,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di Kuala Lumpur, pada 3 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, banyak pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mempersoal justifikasi pelantikan Tan Sri Azam sebagai penasihat NFCC.
Ini memandangkan beliau terpalit dengan beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat mafia dan pemilikan saham.
Selain Datuk Hamzah, Timbalan Ketua Pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Mike Chong Yew Chuan, turut meminta kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Tan Sri Azam sudah dilantik sebagai penasihat di NFCC.
Katanya, laporan mengenai pelantikan itu menimbulkan kebimbangan serius terutama ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai masih menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkaitan mafia korporat serta kaitan yang didakwa membabitkan Tan Sri Azam.
Terdahulu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, melalui kenyataan media menjelaskan bahawa pelantikan Tan Sri Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 itu dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Agong.
Oleh itu, katanya, keanggotaan Tan Sri Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Agong.
“Sehubungan itu, kehadiran Tan Sri Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Pengarah,” katanya.
Tan Sri Azam pada 3 Julai dalam satu kenyataan turut meminta pihak yang mempertikai pelantikannya itu untuk mendapatkan fakta sebenar daripada pihak NFCC.
“Pelantikan saya ini adalah atas perkenan Agong dan berdasarkan atas nasihat Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.
“Saya dilantik oleh Agong bukan sebab jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan,” katanya.
