HANNEEYZAH BAHARIN
haney@sph.com.sg
Koresponden Malaysia
Peniaga air kopi di Malaysia boleh didenda dan dipenjara? Ya, tetapi janganlah terkejut.
Bukanlah kepada semua pengusaha kopi, sebaliknya tindakan itu boleh dikenakan terhadap peniaga yang menjual kopi arang, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Benar, menjual kopi ditambah bara arang yang semakin menjadi trend di Malaysia, kini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan boleh didenda sehingga RM10,000 ($2,856).
Nama kopi bara arang yang popular dipanggil ‘kopi joss’ diinspirasi daripada bunyi yang terhasil ketika proses penyediaan kopi tersebut apabila bara dicampur dengan air.
Mungkin ramai yang telah mencuba kopi bara arang atau lebih dikenali sebagai ‘kopi joss’ di Indonesia ini terkejut dengan larangan penjualan minuman ini.
Menurut KKM, mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Jelas KKM, kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Bagaimanapun, arang tidak dikategorikan sebagai makanan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Redzwan Sabran, berkata bara arang atau arang panas yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi berbeza dengan arang diaktifkan, yang lazimnya digunakan dalam industri makanan dan bidang perubatan.
Katanya ini kerana ia sudah melalui proses dan ditulenkan, sekali gus selamat untuk digunakan.
Menurut beliau, berbeza dengan arang panas yang dimasukkan terus ke dalam kopi, tidak dapat dipastikan sama ada ia selamat dari segi kebersihan dan penyediaannya, atau telah diproses dengan betul dan selamat untuk dimakan atau diminum begitu saja.
“Bara arang yang dimasukkan dalam minuman ini kita tidak tahu dari mana. Tidak mustahil kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain apabila dimasukkan dalam makanan dan boleh menyebabkan keracunan.
“Malah jika diambil secara berpanjangan boleh menyebabkan kanser kerana bara arang menghasilkan karsinogen iaitu agen yang boleh mencetuskan pertumbuhan barah atau kanser.
“Dalam bidang perubatan, arang yang telah diaktifkan digunakan antaranya untuk pesakit cirit birit bagi mengurangkan simptom,” katanya kepada Berita Harian/Minggu (BH/BM).
Dr Mohd Redzwan menasihatkan orang ramai supaya tidak meminum kopi itu dan jangan mengambil risiko kerana tiada ujian klinikal dibuat mengenai dakwaan kopi bara arang baik untuk kesihatan.
Sementara itu, pemilik restoran yang tular kerana menghidangkan kopi bara arang di premisnya sejak dua minggu lalu, Encik Mohamad Azib Hassan, 39 tahun, berkata beliau tidak menyangka video percubaan membuat kopi bara arang itu tular, hingga mengundang ramai pelanggan ke premisnya untuk mencuba minuman itu.
Kata beliau, idea untuk memperkenalkan kopi bara arang yang dijual RM2.50 secawan itu timbul selepas melihat satu video mengenainya di Indonesia yang tular.
“Sebenarnya, kopi yang dijual di premis kami memang dimasak dengan dapur arang. Kemudian, selepas tular mengenai ‘kopi joss’ di Indonesia, kami cuba membuatnya dan dirakam video. Tidak sangka ia tular selepas dikongsikan di TikTok.
“Sejak itu ramai datang ke kedai mahu mencuba kopi bara arang. Kami tidak meletakkannya di dalam menu, tetapi kopi bara arang dibuat mengikut permintaan pelanggan. Ramai yang datang mahu mencuba, termasuk pempengaruh media sosial sehingga ia akhirnya tular.
“Bagaimanapun, diakui kami terkejut selepas dimaklumkan menjual kopi bara arang satu kesalahan seperti ditetapkan KKM.
“Selepas kedai kami didatangi petugas KKM, kami sudah berhenti menjualnya. Kami akur sekiranya ia tidak baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, kami tetap bersyukur dengan hikmah di sebalik isu ini,” katanya kepada BH/BM.
Dalam pada itu, pempengaruh media sosial @abucarimakan yang sempat merasai kopi bara arang sebelum ia dilarang dijual, berkata rasanya sama seperti kopi biasa.
“Sebenarnya rasa kopi bara arang tidaklah begitu berbeza dengan kopi biasa. Fungsi bara arang itu lebih kepada untuk memberi suhu panas pada minuman. Bara arang yang dimasukkan ke dalam kopi akan dikeluarkan sebelum kopi boleh diminum,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg