Pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, sudah lama menguasai politik parti itu.
Namun, sejak pemilihan negeri DAP Pulau Pinang pada 22 September 2024, beberapa perkembangan menimbulkan persoalan sama ada aura politiknya mula malap.
Encik Lim dan penyokongnya beberapa kali mengkritik terang-terangan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Chow Kon Yeow, mencetuskan spekulasi bahawa beliau ingin mendorong adiknya, Timbalan Menteri Kewangan, Cik Lim Hui Ying, sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang – langkah yang boleh menjadi batu loncatan ke jawatan ketua menteri.
Namun, dengan “campur tangan” setiausaha agung DAP, Encik Anthony Loke – dakwaan yang dinafikan Encik Loke – Menteri Sumber Manusia, Encik Steven Sim, dipilih sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang, manakala Cik Lim mengekalkan jawatannya sebagai setiausaha negeri DAP.
Keputusan pemilihan itu mencetuskan spekulasi meluas bahawa kumpulan Encik Lim menerima tamparan besar, dengan beberapa penyokong setianya seolah-olah meninggalkannya.
Bagi penyokongnya, cabaran lebih besar terletak di hadapan – pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dijadualkan pada 16 Mac, lapor Malaysiakini.
Pihak dalaman mendakwa bahawa keputusan pemilihan DAP Pulau Pinang mendedahkan penurunan sokongan terhadap Encik Lim di negeri itu, yang kini dianggarkan hanya 30 hingga 40 peratus.
Encik Lim berkhidmat sebagai setiausaha agung DAP dari Mei 2004 hingga Mac 2022. Sepanjang 18 tahun pentadbirannya, parti itu menikmati zaman keemasan, meraih kemenangan di Pulau Pinang, serta memerintah negeri-negeri lain dan Putrajaya bersama rakan gabungan.
Dalam pemilihan parti 2022, Encik Lim meletak jawatan sebagai setiausaha agung kerana had tempoh. Khabar angin tersebar bahawa beliau akan beralih ke peranan pengerusi dan berpotensi terus mempengaruhi parti di belakang tabir.
Jawatan setiausaha agung adalah yang tertinggi dalam DAP, setaraf dengan jawatan presiden dalam parti lain. Namun, beberapa hari sebelum pemilihan, Encik Loke dan ketua DAP Perak, Encik Nga Kor Ming, mencapai persetujuan untuk bergabung.
Ini memastikan Encik Loke muncul sebagai setiausaha agung yang kukuh, manakala Encik Nga memegang peranan sebagai ketua parlimen DAP, menjadi tokoh kedua paling berpengaruh dalam parti.
Dikatakan bahawa beberapa pemimpin juga memberi tekanan kepada Encik Lim, dan bapanya, Encik Lim Kit Siang, untuk meletak jawatan.
Walaupun Encik Lim Kit Siang pada mulanya menerima pencalonan untuk bertanding, beliau akhirnya mengumumkan persaraannya semasa kongres parti pada 20 Mac 2022, menarik diri daripada perlumbaan CEC dan menyatakan tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau negeri lagi.
Walaupun Encik Lim Guan Eng mengambil peranan pengerusi seperti yang dirancang, gabungan kekuatan kumpulan Encik Loke dan Encik Nga secara beransur-ansur mengikis pengaruhnya.
Dalam DAP, negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang mempunyai bilangan cawangan terbanyak. Encik Nga, selepas usaha bertahun-tahun, kini mengawal DAP Perak dengan kukuh, yang merupakan pangkalan perwakilan terbesar parti.
Namun, pemilihan DAP Pulau Pinang pada September 2024 mengganggu keseimbangan ini. Dengan pangkalan Encik Lim yang semakin mengecil, gerakan akar umbi dilaporkan sedang bergerak untuk menggulingkannya dalam pemilihan CEC Mac nanti.
Menjawab spekulasi mengenai gerakan untuk menggulingkan Encik Lim, Encik Loke berkata pemilihan parti tidak sepatutnya berpusat pada seorang individu atau jawatan.
“Pemilihan parti adalah tentang hala tuju parti... Saya tidak fikir kita harus fokus pada Guan Eng atau mana-mana individu, tetapi pada masa depan DAP,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Apabila ditanya wartawan, Encik Lim mendedahkan bahawa beliau telah membuat keputusan sama ada untuk bertanding dalam pemilihan parti yang akan datang. Bagaimanapun, beliau berkata hanya akan mengumumkannya pada masa sesuai.
Sementara itu, Cik Lim Hui Ying baru-baru ini menyatakan bahawa keluarga Lim bersedia “berundur” jika ahli parti dan pengundi tidak lagi melihat perkhidmatan mereka diperlukan.
“Pada peringkat parti, ia terpulang kepada akar umbi untuk memutuskan. Pada peringkat kebangsaan, pengundi akan membuat keputusan itu,” kata ahli politik itu.
Kini, Encik Lim berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) Bagan dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih. Tanpa jawatan menteri, beliau lebih bebas untuk bercakap mengenai pelbagai isu.
Pada September lalu, ketika AP Seputeh, Cik Teresa Kok, disiasat atas isu pensijilan halal, Encik Lim secara terbuka mempertahankannya, menegaskan bahawa Cik Kok tidak melakukan kesalahan.
Pada 31 Disember 2024, ketika Umno dan PAS siap berkumpul menyokong mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak, Encik Lim mempersoalkan keikhlasan Umno untuk kekal dalam kerajaan.
Kenyataannya mencetuskan reaksi daripada pemimpin Umno, dengan presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Encik Lim bahawa “zamannya telah berlalu”.
Insiden Encik Lim bersuara itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan kepimpinan pusat parti dalam isu-isu sensitif, sekali gus mendapat sokongan akar umbi.
Seorang anggota CEC DAP menyatakan bahawa semakin banyak pemimpin Umno dan PAS menyerangnya, semakin kuat peluang Encik Lim untuk bertahan dalam pemilihan parti.
DAP mengamalkan sistem pemilihan dua peringkat. Perwakilan parti memilih 30 anggota CEC dan mereka kemudian menentukan pelantikan jawatan utama parti.
Dalam wawancara dengan pihak media pada November 2024, Encik Loke mengesahkan niatnya untuk mempertahankan jawatan sebagai setiausaha agung dalam pemilihan pusat DAP Mac depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg