Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saman fitnah: Muhyiddin diperintah bayar RM1.35j kepada Guan Eng

Saman fitnah berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary
Nov 8, 2024 | 3:43 PM
Encik Lim Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8 November.
Encik Lim Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8 November. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 8 November, membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ($410,000) kepada Encik Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Encik Lim selaku plaintif terhadap Tan Sri Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Roz Mawar mendapati Encik Lim berjaya membuktikan kesnya terhadap Tan Sri Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Beliau memerintahkan Tan Sri Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia membayar ganti rugi am kepada Encik Lim sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Tan Sri Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Encik Lim yang juga bekas menteri kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, lapor Berita Harian Malaysia.

Ketika membacakan penghakimannya, Pesuruhjaya Roz Mawar berkata tingkah laku Tan Sri Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).

Pesuruhjaya Roz Mawar berkata namun Tan Sri Muhyiddin tidak berbuat demikian dan terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Encik Lim selepas plaintif memaklumkan kepada beliau bahawa dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak benar.

“Peguam kepada defendan menghujahkan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak bersifat mengapi-apikan.

“Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan sedemikian kerana konteks kenyataan yang dipertikaikan itu adalah dalam maksud semula jadi dan biasa, menimbulkan sentimen perkauman.

“Plaintif juga seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa. Beliau tidak goyah walaupun ketika diperiksa balas (semasa perbicaraan). Keterangan ketua bahagian cukai kementerian kewangan menguatkan kes plaintif dan melemahkan pembelaan defendan,” jelasnya.

Pesuruhjaya Mawar berkata Tan Sri Muhyiddin juga sengaja mencampur-adukkan dakwaannya dengan rujukan yang mengapi-apikan bangsa dan agama sambil menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.

Beliau berkata mahkamah juga mendapati bahawa Tan Sri Muhyiddin tidak layak menggunakan pembelaan keistimewaan bersyarat kerana kenyataan ini tidak dibuat dalam konteks yang sesuai dan sebaliknya sebahagian daripada kempen awam.

Menurut Pesuruhjaya Roz Mawar, kenyataan itu dibuat sejurus selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tan Sri Muhyiddin, dan ia mencadangkan motif yang tidak wajar untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang dihadapinya.

Beliau berkata bukti niat jahat boleh mengatasi prinsip keistimewaan bersyarat, yang mana mahkamah dapati (bukti niat jahat itu ada) berdasarkan bukti bahawa defendan berniat untuk memesongkan siasatan terhadapnya dengan mengaitkan plaintif.

Tan Sri Muhyiddin telah mengarahkan peguamnya untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 27 Mac 2023, Encik Lim memfailkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Encik Lim mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg