KUALA LUMPUR: Jika dikaji sejarah politik negara, khususnya membabitkan usaha penyatuan parti berteraskan kaum Melayu dan Islam, bukan sekali episod untuk bekerjasama itu berlangsung.
Kerjasama itu boleh berlaku pada saat tidak terduga tetapi sejarah juga menunjukkan perpecahan antara parti Melayu boleh terjadi tanpa punca besar.
Lazimnya, idea penyatuan antara parti Melayu yang bermusuhan akan timbul apabila soal ketuanan Melayu dan kedudukan Islam mula tergugat.
Jika ini berlaku, kita boleh melihat idea penyatuan dan kerjasama Melayu akan menjadi hingar bingar.
Namun, ada juga penyatuan itu hanya bertopengkan nafsu, mengambil kesempatan untuk merampas kuasa.
Selepas berjaya mencapai misi itu, kepentingan dan nasib Melayu kembali diabaikan.
Mungkin pedih untuk mendengarnya tetapi ia hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Terbaru, kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang tidak menolak sedia bekerjasama dengan Umno atas faktor perjuangan yang sama, lapor Berita Harian Malaysia.
Tawaran baru Bersatu ini seakan memberi bayangan pergeseran dan permusuhan sekian lama antara kedua-dua parti itu boleh berakhir begitu saja kerana dalam politik, tiada yang mustahil.
Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan, adakah ia sekadar retorik bagi memanaskan suhu politik semasa sambil memancing reaksi pimpinan Umno dan ahlinya ketika mereka masih melihat parti pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu diwarisi saki-baki pengkhianat yang pernah ada dalam Umno.
Jika sekalipun penyatuan Umno dan Bersatu direalisasikan, pandangan rakyat sebagai pemerhati sudah tentu tidak boleh dipandang enteng.
Sebelum ini misalnya, Umno dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sendiri pernah bersatu dalam ‘kerjasama’ menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dikatakan mahu memartabat perjuangan membela Melayu dan Islam.
Penganalisis politik yang juga Profesor di Jabatan Sejarah dan Tamadun, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Zaid Ahmad, berkata kitaran kerjasama antara parti bukan perkara baru dalam landskap politik.
Perkara itu sudah sering kali berlaku membabitkan parti Melayu dan parti bukan Melayu tetapi sering terputus di tengah jalan dan tidak mampu bertahan lama.
“Paling mutakhir pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ada mesej daripada rakyat kepada parti politik dalam negara kita.
“Daripada keputusan PRU15, nampak reaksi rakyat sudah tepu dengan kesemua parti. Maka, tidak nampak ada sebab membolehkan satu parti ditubuh atau bergabung.
“Sebenarnya peluang terbesar untuk mereka bergabung adalah pada pasca-PRU15, tetapi ia tak berlaku.
“Sekarang, perjalanan ke PRU16 sudah separuh jalan, saya tak nampak boleh diadakan rundingan kerjasama antara parti politik, termasuk antara Bersatu dengan Umno.
“Kalau nak adakan kerjasama sepatutnya sebaik PRU15, namun ini tak berlaku,” katanya.
Beliau menjangkakan ‘pelawaan’ Bersatu itu tidak disambut Umno jika mengambil kira parti itu akan bergerak solo pada PRU16 nanti.
“Ini ramalan saya, BN (Barisan Nasional) akan bergerak solo pada PRU16 tetapi mesra dengan PH (Pakatan Harapan). Maksudnya mereka akan mengurangkan pertembungan sesama sendiri di kawasan yang dirasakan boleh menang.
“Selain itu, tak ada keperluan pun untuk sambut tawaran kerjasama Bersatu dengan kemenangan yang BN peroleh dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, DUN Mahkota hingga di DUN Ayer Kuning kerana perkara sedemikian turut jadi asas untuk pemain politik merangka strategi dan haluan masa depan,” katanya.
Sementara itu, melihat kepada realiti semasa politik negara, Umno dilihat semakin selesa bersama PH walaupun masih kerap berlaku pertelingkahan antara pemimpinnya.
Atas faktor ini, kemungkinan kerjasama Umno-Bersatu atas dasar Melayu-Islam tidak lagi meraih perhatian rakyat, sebaliknya ia dilihat sebagai satu tunggangan atau retorik sengaja dimainkan untuk meraih perhatian ramai.
Ketika ini, rakyat tidak mahu parti politik bermain dengan retorik, tetapi mahu kepimpinan yang bukan sahaja matang dan tidak bermusuhan sesama sendiri.
Pemimpin politik Melayu mungkin tidak sedar, mereka sebenarnya yang membunuh keyakinan orang Melayu terhadap parti yang sebelum ini dijunjung sebagai mendukung kepentingan kaum majoriti itu.
Dengan segala macam pergeseran dan pertikaman lidah antara kepimpinan parti, bagaimana keyakinan semakin goyah ini mampu diperkukuh? Tepuk dada, tanya selera Umno.
Mungkin kita tidak sedar, usaha penyatuan Melayu walaupun berbeza parti ini sering berlaku di sebalik tabir, tetapi tidak didedahkan.
Namun, kesukaran bertolak ansur dengan syarat ditetapkan sering menggagalkan usaha murni ini.
Tetapi ‘jika tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak mendapat sagunya’.
Adakah hanya sekadar mahu bermain slogan atau sanggup mengorbankan prinsip parti serta ego peribadi?
Ini antara persoalan perlu dijawab pemimpin parti Melayu supaya tidak hanya pandai bermain kata-kata, tetapi menunjukkan dengan tindakan ampuh bagaimana hendak mengembalikan kepercayaan kaum majoriti ini.
“
Sebenarnya peluang terbesar untuk mereka bergabung adalah pada pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi ia tak berlaku. Sekarang, perjalanan ke PRU16 sudah separuh jalan, saya tak nampak boleh diadakan rundingan kerjasama antara parti politik, termasuk antara Bersatu dengan Umno. Kalau nak adakan kerjasama sepatutnya sebaik PRU15, namun ini tak berlaku.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg