Topik diikuti
Pergi ke BHkuBomba mohon pengeboman air bagi kebakaran gambut Pengerang
Angin kencang menyebabkan api cepat merebak; jengkaut digunakan untuk bina pemutus api
PENGERANG (Johor): Pasukan pemadam berjaya memadamkan 25 hektar atau 48.6 peratus daripada keseluruhan 51.4 hektar kawasan tanah gambut yang terbakar di Jalan Pintasan Punggai-Sebana Cove di sini.
Menurut laporan situasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor setakat 12 tengah malam, 26 Ogos, operasi masih diteruskan bagi menangani baki kawasan seluas 26.4 hektar.
Kemajuan itu menyaksikan pertambahan 10 hektar kawasan yang berjaya dipadam berbanding 15 hektar yang dilaporkan pada 8.30 pagi, 25 Ogos.
Kawasan kebakaran dibahagikan kepada dua sektor, dengan Sektor A merangkumi 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.
Sebanyak 10 hektar atau 28.1 peratus daripada Sektor A berjaya dipadamkan.
Kerja di Sektor B pula hampir selesai apabila 15 hektar atau 94.9 peratus daripada keseluruhan kawasan sektor itu berjaya dipadam.
“Tiada titik merah baru dikesan di lokasi kebakaran. Bagaimanapun, operasi masih dijalankan dan keadaan semasa menyaksikan tiupan angin agak kuat,” menurut laporan itu.
Seramai 43 anggota dan petugas terlibat dalam operasi, terdiri daripada 25 anggota JBPM, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan 14 kakitangan Ranhill SAJ.
Pasukan JBPM dikerahkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove, Punggai, Sungai Rengit dan Bandar Penawar, selain Pejabat Zon 2, Unit Dron dan pasukan logistik operasi.
Operasi pemadaman dilaksanakan menerusi pemadaman langsung menggunakan pam mudah alih dengan sumber air terbuka dan lori tangki air. Pasukan turut membina pemutus api bagi menghalang kebakaran daripada merebak.
Aset yang digunakan termasuk dua jentera bomba, dua lori tangki air JBPM, 11 lori tangki Ranhill SAJ, empat kenderaan pacuan empat roda dan dua jengkaut.
Kebakaran dilaporkan pada 11.25 pagi, 24 Ogos, dan pasukan bomba tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Dalam pada itu, JBPM Johor juga telah memohon bantuan pengeboman air bagi mempercepat operasi memadam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar, berkata operasi darat masih diteruskan, khususnya di Sektor A.
“Permohonan pengeboman air telah dibuat. Kita akan memberikan taklimat kepada juruterbang dan menyusun penerbangan operasi.
“Sekiranya segala urusan dapat diselesaikan, pengeboman air mungkin boleh dimulakan pada sebelah petang dengan bantuan pasukan dari Pangkalan Udara JBPM Subang,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Muhammad Tarmizi, penyelarasan turut dilakukan pada peringkat pengurusan bencana daerah, selain penggunaan jengkaut bagi membina laluan pemutus api.
Jengkaut akan bergerak terlebih dahulu bagi membuka laluan dan membina pemutus api sebelum pasukan pemadam masuk untuk melakukan pemadaman secara langsung.
“Keadaan angin yang kuat dan bertiup kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Jengkaut akan membina pemutus api dan pasukan bomba kemudian masuk mengikut laluan tersebut untuk meneruskan pemadaman,” katanya.
Bekalan air turut disalurkan menerusi lori tangki, termasuk dengan bantuan Ranhill SAJ, bagi menyokong operasi di kawasan yang mempunyai sumber air terhad.
Encik Muhammad Tarmizi berkata pemadaman dilakukan secara bertahap kerana kebakaran melibatkan tanah gambut dan api di permukaan.
