Buang puntung rokok: Warga S’pura jalani hukuman khidmat masyarakat
Buang puntung rokok: Warga S’pura jalani hukuman khidmat masyarakat
Lelaki warga Singapura menjadi antara 15 individu pertama yang menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), pada 13 Februari, di lima negeri serata Malaysia, selepas kesemua mereka dijatuhi hukuman atas kesalahan membuang sampah merata-rata oleh mahkamah, sepanjang minggu ini.
Di Kuala Lumpur, Mohamed Nuh Qursaini Kayat, 25 tahun, yang menetap di kawasan Geylang, bersama tiga yang lain – masing-masing warga Malaysia, Indonesia dan Pakistan – menjalani hukuman itu dengan menyapu dan mengutip sampah selama empat jam di kawasan tumpuan pelancong, Dataran Merdeka.
Beliau yang turut dijatuhi hukuman denda RM1,500 ($485) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 Februari lalu, menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata walau di mana-mana pun anda berada.
“Saya benar-benar menyesal atas perbuatan saya. Kesalahan itu memang berpunca daripada saya sendiri kerana membuang puntung rokok merata-rata di tempat awam. Saya akui tindakan tersebut adalah salah.
“Saya telah pun menjalani hukuman yang ditetapkan, membayar denda dan melaksanakan PKM seperti yang diarahkan.
“Saya terima hukuman ini sebagai satu pengajaran besar dalam hidup saya,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) sewaktu menjalani hukuman itu.
Mohamed Nur Qursaini yang bekerja dalam industri minyak, berkata beliau datang ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur, untuk menyambut malam tahun baru, tanpa mengetahui peraturan terkini untuk kesalahan membuang sampah merata-rata yang mula berkuat kuasa di Malaysia pada 1 Januari 2026.
“Saya memang terkejut apabila dikenakan tindakan, namun selepas memahami undang-undang tersebut, saya sedar ini adalah peringatan penting untuk saya tidak mengulangi kesilapan sama.
“Saya harap sesiapa saja yang datang ke Kuala Lumpur, ikutlah peraturan supaya kalian tidak alami keadaan seperti saya hari ini,” katanya yang pulang ke Singapura sebaik selesai menjalani PKM itu.
Mohamed Nur Qursaini didapati bersalah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di kawasan awam berhampiran sebuah kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 1.45 pagi, 1 Januari 2026 lalu.
Beliau menjadi warga Singapura pertama yang dikenakan hukuman denda dan PKM itu, selepas Malaysia menguatkuasakan undang-undang baru yang lebih tegas bermula 1 Januari 2026.
Tindakan lebih tegas terhadap individu yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab itu termasuk boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Sebelum 2026, hukuman bagi kesalahan membuang sampah di Malaysia terhad kepada denda yang lebih rendah dan tidak melibatkan hukuman PKM.
Seramai 11 lagi pesalah membuang sampah itu turut menjalani hukuman khidmat masyarakat yang diperintahkan mahkamah secara serentak pada 13 Februari di empat negeri lain iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Ketua Eksekutif, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia (SWCorp), Encik Khalid Mohamed, berkata sejak 1 Januari lalu, sebanyak 742 notis kesalahan telah dikeluarkan di tujuh negeri, membabitkan 581 warga tempatan dan 161 warga asing.
Menurutnya, lebih 500 anggota SWCorp akan terus melaksanakan operasi setiap hari, dengan pemantauan ditingkatkan di lebih 30,000 hotspot di kawasan tumpuan awam dan pelancongan serata Malaysia, yang banyak berlaku kes pembuangan sampah merata-rata.
“Anggota penguat kuasa ini akan bertugas dengan berpakaian biasa dan dilengkapi kamera badan untuk merakam terus kesalahan individu yang membuang sampah merata-rata,” katanya.

