Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 6 tahun dilapor hilang di JB disahkan mati dijerut kabel

Jul 30, 2025 | 1:40 PM
budak dibunuh, JB
Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak lelaki enam tahun yang mayatnya ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia akibat leher dijerut kabel. - Foto KOSMO!

SEREMBAN (Negeri Sembilan): Kanak-kanak enam tahun yang ditemui disyaki ditanam oleh bapanya dekat Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, pada 29 Julai, disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata dapatan berkenaan diperoleh melalui bedah siasat kira-kira empat jam bermula 12 tengah hari, pada 29 Julai.

“Hasil bedah siasat ke atas si mati (kanak-kanak) mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan cable tight (kabel ketat).

“Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian. Setakat ini, kes ini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pakar patologis menganggarkan mangsa meninggal dunia pada 23 Julai di antara 9 pagi dengan 11 pagi. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, lapor Kosmo!.

Sementara itu, mayat kanak-kanak malang berkenaan dibawa ke Johor dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, Negeri Sembilan, kira-kira 4.30 petang 29 Julai.

Anggota keluarga yang hadir terutama si ibu kelihatan begitu sedih serta sentiasa ditemani anggota keluarga lain.

Malah, difahamkan sejak kehilangan anak lelakinya itu, si ibu tidak makan serta sentiasa menangis.

Datuk Ahmad Dzaffir berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

“Setakat ini, suspek tidak memberikan respons positif. Motif sebenar kejadian masih disiasat,” ujarnya.

Terdahulu, kanak-kanak malang dikenali sebagai M Tishant, dilaporkan hilang di Taman Indah, Johor Bahru, pada 24 Julai sebelum mayatnya ditemui tertanam di belukar dekat Rompin, Jempol, pada 29 Julai.

Seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kandung mangsa ditahan dan kini direman polis Kontinjen Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg