Kebimbangan serius terhadap kesan kesihatan dan sosial akibat pengambilan ‘vape’ atau rokok elektronik (e-rokok) yang kian meruncing, terutama dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah, membangkitkan gesaan banyak pihak supaya kerajaan Malaysia mengharamkan sepenuhnya ‘vape’ di seluruh negara.
Desakan memuncak itu juga menyusuli lonjakan kes penyalahgunaan ‘vape’ yang menjerat pengguna khususnya remaja dan pelajar sekolah ke kancah penagihan dadah, sekali gus dikhuatiri merosakkan masa depan generasi muda yang bakal mewarisi negara.
Kelantan menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan ‘vape’ sepenuhnya sejak 2015, diikuti Johor dan Pahang yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kepentingan kesihatan dan prinsip agama.
Kedah, Perlis dan Terengganu mula menguatkuasakan larangan jualan ‘vape’, manakala beberapa negeri lagi sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan di kawasan tertentu dan mengkaji pendekatan kawalan lebih ketat.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa isu penularan dadah dan penggunaan ‘vape’ dalam kalangan generasi muda perlu ditangani secara serius dan menyeluruh.
“Masalah ini sudah berlarutan sekian lama. Ia perlu ditangani dengan strategi yang tuntas dan bukannya sekadar kempen bersifat sementara,” katanya.
Desakan pengharaman ‘vape’ turut disuarakan pelbagai pihak.
Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Firdaus Akmal Azman, berkata sudah tiba masanya kerajaan Malaysia bangkit daripada mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ serta menyertai lebih 30 negara di dunia yang telah menguatkuasakan larangan nasional terhadap ‘vape’.
“Langkah kerajaan negeri seperti Johor dan Kelantan wajar dicontohi. Namun dasar di peringkat nasional kelihatan masih bertatih. Kita perlukan pendekatan tegas, tanpa kompromi,” katanya.
Dr Mohd Firdaus turut menekankan keperluan memperkukuh penguatkuasaan terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang antara lain melarang penjualan ‘vape’ secara dalam talian.
“Penjualan dalam talian masih berleluasa. Jurang antara dasar dan pelaksanaan amat ketara.
“Inilah kelemahan yang sering dimanipulasi pihak berkepentingan. Agensi penguat kuasa perlu dibekalkan sumber mencukupi agar kekal agresif,” ujarnya kepada Berita Minggu (BM).
Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata penjualan dan pengedaran ‘vape’ tanpa kawalan merupakan cabaran besar buat negara, dan langkah pengharaman di peringkat nasional dilihat jalan terbaik bagi menamatkan ancaman yang kian meruncing.
Menurutnya masyarakat tidak boleh diperdaya oleh muslihat industri ‘vape’ yang menggunakan alasan kepentingan ekonomi untuk menghalang kerajaan daripada melaksanakan pengharaman secara menyeluruh.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi amaran bahawa sindiket dadah kini menyasarkan pengguna ‘vape’ sebagai potensi pelanggan bagi membentuk ketagihan jangka panjang.
“Jika keadaan ini tidak ditangani segera, kita berisiko melahirkan generasi baru yang terperangkap dalam ketagihan berganda – nikotin dan dadah,” katanya kepada BM.
Encik Muhammad Sha’ani turut memberi amaran kemungkinan banyak kes kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu dengan rekod dadah berpunca daripada penyalahgunaan ‘vape’.
“Oleh itu, larangan penjualan ‘vape’ mesti diteruskan, disokong tindakan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten,” katanya yang juga Koordinator Kawalan Tembakau Inisiatif Bebas Rokok Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, menunjukkan 14.9 peratus atau sekitar 400,000 pelajar sekolah berumur antara 13 dengan 17 tahun adalah pengguna ‘vape’.
Data Kementerian Pendidikan (KPM) pula mendedahkan trend penggunaan ‘vape’ membabitkan pelajar sekolah meningkat dengan kira-kira 20,000 golongan itu terjebak kegiatan terbabit pada 2024.
Setiausaha Penganjur Pergerakan Anak Muda Malaysia, Cik Brevia Pan Woon Shien, bersetuju Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan larangan secara menyeluruh di peringkat nasional bagi mengatasi masalah peraturan tidak tekal antara negeri.
“Ketiadaan dasar seragam menyebabkan pembelian rentas negeri berlaku, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan. Justeru, dasar nasional yang seragam diperlukan agar kawalan lebih berkesan,” katanya.
Namun beliau turut memberi amaran bahawa larangan sepenuhnya tanpa penguatkuasaan ketat boleh mencetuskan pasaran gelap lebih besar.
“Kerajaan harus memperkenalkan larangan ini bersama langkah penguatkuasaan tegas, pendidikan pencegahan serta alternatif ekonomi untuk memastikan kejayaannya,” tambah Cik Pan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Encik Mohamad Alif A Rahim, berkata pihaknya memandang serius peningkatan penggunaan ‘vape’ dalam kalangan pelajar sekolah yang kini menjadi cabaran besar kepada kesihatan dan pembangunan sosial belia.
“Akses mudah kepada produk ‘vape’, kurang kesedaran terhadap kesan jangka panjang serta pengaruh media sosial adalah punca utama masalah ini,” jelas Encik Mohamad Alif.
Beliau mencadangkan kempen kesedaran agresif di sekolah dan masyarakat, penguatkuasaan ketat terhadap penjualan ‘vape’ kepada remaja, serta menyediakan alternatif sihat seperti kegiatan sukan dan seni bagi mencegah belia daripada terlibat dengan tabiat negatif.
Gesaan pengharaman ‘vape’ turut disokong Pusat Racun Negara (PRN) yang mula merekodkan kes keracunan akibat ‘vape’ sejak 2015 hingga 2024, melibatkan sejumlah 152 kes.
Namun, jumlah sebenar kes yang tidak dilaporkan mungkin lebih tinggi.
Pegawai Farmasi PRN, Universiti Sains Malaysia, Cik Sulastri Samsudin, berkata sebanyak 76 kes antara 2020 dengan 2024 membabitkan kes pendedahan ‘vape’ yang disyaki mengandungi bahan terlarang dadah.
Menurutnya, 81 peratus kes itu melibatkan remaja berusia antara 15 dengan 19 tahun serta awal dewasa dalam lingkungan 20-an tahun, yang terjebak ketagihan ‘vape’ perisa Magic Mushroom yang mengandungi campuran dadah sintetik.
“Peningkatan penyebaran penggunaan ‘vape’ dalam kalangan remaja dan wanita bukan perokok meningkat mendadak sehingga 14.9 peratus pada 2022, berbanding 9.8 peratus pada 2017.
“Fenomena ini bakal mengancam kesihatan dan masa depan generasi muda Malaysia, sekali gus menjadikan pengharaman ‘vape’ sebagai penyelesaian kritikal untuk kepentingan kesihatan dan sosial di Malaysia,” katanya kepada BM.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkefli Mohamad, turut menggesa kerajaan menghidupkan semula peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Cadangan GEG itu pernah dibawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melarang sepenuhnya penjualan dan penggunaan produk tembakau serta ‘vape’ kepada individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 – bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak ketagihan ‘vape’.
Namun, ia digugurkan selepas Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berpandangan GEG bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mewujudkan layanan undang-undang tidak adil antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dengan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.
Datuk Zulkefli menyuarakan kebimbangan jika langkah itu atau penguatkuasaan lebih tegas tidak diambil, kawalan penggunaan ‘vape’ dalam kalangan remaja sekolah semakin sukar.
“Amaran KPM supaya pelajar sekolah yang menghisap ‘vape’ dikenakan tindakan gantung atau buang sekolah tidak mencukupi.
“Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari simptom ketagihan ‘vape’ pada anak mereka.
“Dalam banyak kes, setiap sedutan ‘vape’ yang mengandungi dadah menyebabkan mereka khayal dan hilang kawalan diri dalam tempoh sekejap menyebabkan ia sukar dikesan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg