Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 6 tahun masih trauma selepas diculik di Johor

Jul 26, 2024 | 11:33 AM
Gambar fail yang memaparkan Albertine Leo Jia Hui (belakang, kanan), kanak-kanak perempuan enam tahun yang diculik, sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor.
Gambar fail yang memaparkan Albertine Leo Jia Hui (belakang, kanan), kanak-kanak perempuan enam tahun yang diculik, sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor. - Foto FACEBOOK BARBIE HUI HUI

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang di Johor selama beberapa hari, Albertine Leo Jia Hui, mungkin telah selamat pulang ke pangkuan keluarganya, namun dia tidak mahu dibiarkan bersendirian.

Jelas masih trauma, kanak-kanak itu masih belum mengongsi sepenuhnya tentang pengalaman pahit itu – yang mana dia dikatakan diculik di Iskandar Puteri pada petang 20 Julai.

Menurut ibunya, dia tidak cedera secara fizikal berdasarkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Selayang, selepas ditemui di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, pada pagi 23 Julai lalu.

“Bagaimanapun, keadaan mentalnya masih terjejas,” kata Encik Ling Tian Soon, Ketua Pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA) Johor yang berkongsi apa yang diberitahu ibu kanak-kanak itu selepas melawat keluarga berkenaan pada 25 Julai.

“Ibunya memberitahu kami bahawa dia kelihatan baik-baik saja pada satu masa, tetapi akan tiba-tiba berasa takut pada masa lain.

“Budak itu juga beritahu ibunya supaya tidak meninggalkannya sendirian dan dia mahu ibunya terus bercakap dengannya,” katanya kepada The Star.

Oleh itu, keluarganya akan memastikan budak itu sentiasa ditemani adik-beradik dan ahli keluarga lain, yang akan bermain dengannya untuk mengelakkan dia berasa kesunyian.

“Budak itu juga mendedahkan bahawa dia dibawa ke ‘beberapa tempat’ sebelum berakhir di hotel bajet di Batang Kali,” kata Encik Ling, juga pengerusi jawatankuasa kesihatan dan alam sekitar Johor.

“Dia bercakap tentang pengalamannya secara beberapa cebisan apabila ditanya ibunya yang berusia 37 tahun, dan masih belum mengongsi cerita sepenuhnya,” katanya.

“Keluarganya tidak mahu bertanya terlalu banyak untuk mengelak daripada mencetuskan apa-apa yang kurang baik. Ibunya juga mahu memberinya ruang dan masa untuk meluahkan perasaan secara perlahan-lahan.”

Kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu di satu festival di Iskandar Puteri, Johor, telah mencetuskan keprihatinan umum, dengan ramai beralih ke media sosial untuk berkongsi maklumat mengenainya dengan harapan dapat pulang ke rumah dengan selamat.

Lima suspek – tiga lelaki dan dua wanita – telah ditahan polis awal minggu ini berhubung kehilangannya, termasuk seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditemui di bilik hotel bajet sama dengan kanak-kanak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg