Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejadian kucing mati ngeri di Uni Malaya cetus persoalan

Polis sahkan kematian tiga kucing akibat serangan anjing liar, namun ada pihak sifatkannya sebagai meragukan dan ‘tidak masuk akal’
Dec 23, 2024 | 4:01 PM
Kucing yang dinamakan sebagai Lily antara tiga kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, dengan empat kakinya seperti dipotong dan terdapat luka besar pada badannya pada 16 Disember lalu.
Kucing yang dinamakan sebagai Lily antara tiga kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, dengan empat kakinya seperti dipotong dan terdapat luka besar pada badannya pada 16 Disember lalu. - Foto FACEBOOK KELAB PENCINTA KUCING MALAYSIA

Kematian tragis tiga kucing jalanan di Universiti Malaya (UM) dengan empat kakinya seperti dipotong dan perutnya terburai sejak 16 Disember lalu, mencetus persoalan dan mengundang kemarahan masyarakat terutama pencinta kucing.

Walaupun pihak polis telah mengesahkan kematian tiga kucing berkenaan adalah akibat serangan anjing liar, namun banyak pihak menyifatkan cara kematian itu ngeri sekali, meragukan dan ‘tidak masuk akal’, berikutan kaki kucing terpotong seperti menggunakan senjata tajam umpama didera manusia kejam, bukan kesan gigitan anjing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan pihak polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di kawasan sekitar universiti berkenaan mengesahkan kematian tiga kucing di UM itu berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.

“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian ini pada 17, 20 dan 21 Disember lalu. Namun, tiada saksi yang menyaksikan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Disember.

Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial pada 23 Disember berkongsi pendedahan seorang doktor haiwan swasta yang menunjukkan laporan bedah siasat terhadap kucing berkenaan, dengan mendakwa terdapat kesan menunjukkan anggota badan haiwan berkenaan telah sengaja dipotong.

Menyusuli hasil siasatan polis itu, pelbagai pihak mendesak siasatan terperinci dijalankan pihak berkuasa dalam kes berkenaan.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Encik Khalid Rashid, berkata punca kematian haiwan itu dikatakan akibat serangan anjing liar, namun pihaknya berpandangan cara kematiannya agak tidak masuk akal.

“Kita bukan mahu mempersoalkan hasil siasatan pihak berkuasa, namun cara matinya mencurigakan. Jadi saya berharap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan lebih terperinci dan telus dalam kes ini.

“Kalau anjing buat (serang), selalunya anjing akan menerkam leher atau perutnya (kucing) terburai dan jarang nak makan habis tetapi kaki (kucing dalam kejadian itu) macam dipotong.

“Pada pandangan saya yang sudah banyak menyelamatkan kucing, (kecederaan kucing berkenaan) tidak kena pula kalau dikatakan dimakan atau didera (diserang) anjing liar,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut terkesan dengan kejadian malang yang menimpa kucing berkenaan dan menggesa tindakan serta-merta serta siasatan menyeluruh dilaksanakan, untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau, yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam kelakuan penganiayaan terhadap haiwan dan berkata siasatan itu perlu bagi memastikan insiden yang bertentangan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang ini tidak berulang.

“Siasatan teliti yang dilaksanakan akan mengambil kira semua fakta kes terutamanya penemuan kesan bahagian tubuh kucing yang seperti dipotong,” katanya.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Encik Arie Dwi Andika, pula menjelaskan beberapa kucing yang terbunuh mempunyai kesan jenayah dan clean cut (kesan potongan sempurna) pada bangkai haiwan yang dijumpai dan pakar veterinar berpendapat luka yang ada tidak menggambarkan serangan anjing liar.

“Inilah kemusykilan yang belum terungkai dan dibimbangi terdapat dua versi kejadian. Pertama memang ada serangan anjing terhadap kucing, kedua besar kemungkinan berlaku juga serangan lain terhadap kucing (oleh pihak) yang pandai melakukan clean cut,” katanya di Facebook persatuan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg