BATU PAHAT: Seorang pemandu van sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, pada 7 Mei atas tuduhan mengabaikan dan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak selepas mangsa tertinggal dalam van pada April lalu.
Yau Chee Weng, 57 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Khalid Ab Karim.
Tertuduh yang juga seorang pesara, sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu, didakwa meninggalkannya dalam sebuah van hingga menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor, antara 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, pada 30 April lalu, lapor Berita Harian Malaysia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 ($15,327) atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kededuanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga diperintah tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 16 Jun ini untuk serahan dokumen.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Yu Zie ditemui tidak sedarkan diri di bahagian pintu van sekolah berkenaan, dipercayai cuba untuk keluar daripada kenderaan itu namun gagal.
Bapa kanak-kanak itu yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Teo Jia, 37 tahun, sebelum ini terkilan dengan kejadian malang menimpa anak tunggalnya itu.
“Sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan kanak-kanak semua sudah turun, baru boleh tutup (pintu van) atau balik.
“Pihak tadika juga cuai, sepatutnya semak kehadiran... kalau kanak-kanak tidak datang, hubungi keluarga tanya anak dekat mana,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg