Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buli di sekolah M’sia: Ibu bapa, sekolah perlu kerjasama tangani trend kian runcing

Bukan semata-semata ekoran kelemahan sistem pendidikan, turut main peranan faktor individu, persekitaran, keluarga  
Oct 25, 2025 | 5:30 AM
Yap Shing Xuen , bandar utama, petaling jaya
Kejadian malang menimpa mendiang Yap Shing Xuen (gambar kecil), pelajar 16 tahun sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, yang maut ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun pada 14 Oktober lalu, menjadi penggera kesedaran bahawa media sosial dan permainan video boleh memberi pengaruh buruk kepada individu. - Foto KOSMO!

Mutakhir ini, isu buli di sekolah di Malaysia semakin membimbangkan apabila ia tidak lagi terbatas kepada ejekan atau serangan fizikal ringan, malah turut mengakibatkan maut.

Kes-kes terbaru di sekolah kebelakangan ini pula menunjukkan perlakuan buli mula berubah lebih ekstrem kepada jenayah serius, termasuk rogol dan bunuh.

Kes seorang pelajar perempuan 15 tahun mendakwa dirogol dalam kelas oleh beberapa pelajar lelaki berusia 17 tahun di sekolah di Melaka, serta kes seorang pelajar perempuan 16 tahun maut akibat ditikam seorang rakan sekolah berusia 14 tahun di Selangor, adalah satu perkembangan yang menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan pelajar dan budaya sekolah masa kini.

Pada 17 Julai lalu pula, seorang pelajar, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, meninggal dunia, selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah, dan kematiannya dikaitkan dengan tragedi buli.

Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dipercayai menjadi mangsa buli sebelum meninggal dunia pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan dalam longkang di asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dipercayai menjadi mangsa buli sebelum meninggal dunia pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan dalam longkang di asrama sekolahnya di Papar, Sabah. - Foto KOSMO!

Fenomena ini juga mencetuskan kebimbangan mendalam tentang punca sebenar masalah dan peranan sistem pendidikan serta keluarga dalam membentuk modal insan bermutu terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyentuh soal ‘kecacatan’ dalam sistem pendidikan negara yang dikatakan lebih tertumpu kepada penekanan dan pencapaian akademik, sehingga mengabaikan aspek nilai moral dan prinsip etika dalam kalangan pelajar.

Namun, benarkah apa yang dikatakan kelemahan dalam sistem pendidikan sekolah ini menjadi punca kian meningkat kes-kes moral dan jenayah melibatkan pelajar termasuk buli.

Jika dihitung berdasarkan angka, jumlah kes buli yang melibatkan pelajar sekolah memang tinggi. Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan kejadian buli di sekolah meningkat kepada 7,681 kes yang dilaporkan sepanjang 2024. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 3,883 kes buli pada 2022 dan 6,528 kes pada 2023.

Namun, beberapa pihak berpandangan, sistem pendidikan Malaysia sekarang bukanlah akar utama kepada gejala buli dan jenayah melibatkan pelajar yang berlaku sekarang ini, sebaliknya banyak faktor lain saling berkait.

Menurut mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, isu ini bukan semata-mata disebabkan apa yang dikatakan sebagai kelompangan dalam sistem pendidikan, tetapi berpunca daripada faktor individu; persekitaran dan keluarga. 

Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang berpengalaman lebih 36 tahun dalam sektor pendidikan.
Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang berpengalaman lebih 36 tahun dalam sektor pendidikan. - Foto fail NSTP

Beliau berkata pendidikan pelajar ibarat menanam pokok, yang mana guru membelai pokok itu dengan baja dan siraman, tetapi jika ada gangguan daripada serangga, pokok itu boleh musnah.

Analogi itu katanya menggambarkan bagaimana persekitaran yang tidak kondusif boleh merosakkan perkembangan positif pelajar, walaupun mereka memiliki potensi semula jadi yang baik.

“Sistem pendidikan Malaysia sebenarnya sudah melahirkan banyak generasi dan pemimpin berjaya. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah perbaiki apa yang perlu,” katanya.

Tan Sri Alimuddin menegaskan menurut pakar psikologi, dua faktor mendorong pertumbuhan baik seseorang pelajar atau remaja iaitu genetik fizikal dan mental serta persekitaran. 

Katanya, faktor seperti penggunaan media sosial tanpa kawalan, lambakan kandungan pornografi, permainan video yang sarat elemen kekejaman, pengganasan dan pembunuhan serta kurangnya perhatian dan bimbingan ibu bapa turut mendorong tingkah laku negatif seseorang pelajar. 

“Guru di sekolah sudah sedia sibuk dengan tugas menumpukan pencapaian akademik pelajar, manakala ibu bapa pula sibuk bekerja dan kurang masa mengawal perkembangan anak, sekali gus membuatkan mereka membesar dalam pengawasan moral yang rapuh,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau juga menekankan bahawa remaja yang terlalu terdedah kepada unsur negatif sejak kecil, misalnya seawal usia lima tahun, boleh membesar dengan menghadapi risiko masalah mental dan tingkah laku yang serius. 

Untuk menangani masalah itu, beliau menekankan peranan ibu bapa, dengan anak perlu diberi perhatian dan bimbingan berkualiti, walaupun dalam kesibukan ibu bapa bekerja.

“Pemantauan penggunaan aplikasi dan kandungan digital amat penting supaya remaja tidak terdedah kepada unsur negatif dan ibu bapa boleh mengawal apa yang diterokai anak di Internet.

“Dari segi sekolah, penguatkuasaan peraturan dan pemantauan budaya buli perlu diperketatkan bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan dan menghormati institusi pendidikan,” katanya.

Tan Sri Alimuddin turut menekankan pentingnya institusi keluarga yang baik untuk membentuk remaja berakhlak dan bernilai tinggi, sambil menegaskan kes perceraian ibu bapa berpotensi menyumbang kepada pembentukan remaja bermasalah sekiranya mereka tidak mendapat perhatian secukupnya.

Kebimbangan beliau mengenai institusi keluarga yang rapuh ada asasnya kerana berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar perceraian di Malaysia pada 2022 meningkat 43.1 peratus iaitu 62,890 berbanding 43,936 kes pada 2021.

“Biasanya, selepas perceraian, anak menghadapi cabaran emosi yang serius, sementara guru di sekolah sering kali sukar menangani semua kesan ini,” katanya.

Sementara itu, kaunselor, pembimbing motivasi serta pengasas platform motivasi dan pendidikan kekeluargaan ByBonda, Dr Umirah Mohd Taib, sependapat dengan Tan Sri Alimuddin dan menegaskan bahawa penggunaan gajet tanpa had oleh remaja boleh menimbulkan kesan negatif, antara punca kes buli dan jenayah kian meningkat dalam kalangan pelajar.

Kaunselor, pembimbing motivasi serta pengasas platform motivasi dan pendidikan kekeluargaan, ByBonda, Dr Umirah Mohd Taib, pernah menjadi mangsa buli di sekolah.
Kaunselor, pembimbing motivasi serta pengasas platform motivasi dan pendidikan kekeluargaan, ByBonda, Dr Umirah Mohd Taib, pernah menjadi mangsa buli di sekolah. - Foto ihsan BYBONDA

“Penggunaan gajet tanpa kawalan ibu bapa menyebabkan mereka tidak menapis apa yang mereka tonton dan tidak tahu membezakan apa yang baik dan buruk, tidak boleh membezakan antara kehidupan realiti dan fantasi, menjadikan apa yang mereka lihat pada dunia fantasi diperlakukan pada dunia realiti,” katanya kepada BH. 

Beliau menambah, ramai remaja tidak lagi terbuka berkomunikasi dengan ibu bapa kerana kesibukan mereka, dan lebih banyak menyuarakan masalah kepada rakan sebaya, menyebabkan tekanan emosi dan masalah mental tidak disalur ke tempat yang betul. 

“Terdapat banyak isu kesihatan mental dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah yang masih tidak didiagnosis atau terlepas pandang dan ini memburukkan lagi keadaan pelajar sehingga terdorong melakukan perkara tidak sepatutnya seperti buli dan jenayah,” katanya.

Dr Umirah menambah, kurangnya hala tuju di sekolah selepas tiada lagi peperiksaan utama dijalankan selain Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta hilangnya rasa hormat terhadap guru turut menyumbang kepada fenomena buli. 

“Tenaga tinggi pelajar remaja, jika tidak disalurkan melalui aktiviti positif atau pembelajaran bermakna, boleh dilampiaskan dalam bentuk tingkah laku ganas,” katanya.

Untuk mengenal pasti situasi buli, beliau menekankan tanda-tanda amaran seperti pembuli yang bertindak secara berulang, bergerak dalam kumpulan dan memilih mangsa yang lemah atau kurang berkeyakinan.

Pengalaman peribadi Dr Umirah sendiri turut membuka mata tentang kesan buli, dengan beliau dibelenggu public fear (ketakutan di depan orang ramai) sehingga hari ini kerana takut dicederakan.

“Pengalaman melalui situasi dibuli di sekolah secara fizikal dan lisan memberi kesan kepada keyakinan diri dan karakter saya sewaktu membesar.

“Saya membesar dalam keadaan introvert dan pemalu disebabkan kata-kata yang dilemparkan oleh pembuli dan pada masa sama situasi pernah ditampar pelajar senior di hadapan orang ramai membuatkan saya ada public fear sehingga ke hari ini.

Buli adalah perkara serius yang melibatkan maruah dan keyakinan diri seseorang,” katanya.

Kaunselor dan Pembimbing Motivasi, Dr Umirah Mohd Taib (berdiri tiga dari kanan) sering menasihati anak-anaknya supaya kenali nilai diri bagi mengelak menjadi mangsa buli di sekolah.
Kaunselor dan Pembimbing Motivasi, Dr Umirah Mohd Taib (berdiri tiga dari kanan) sering menasihati anak-anaknya supaya kenali nilai diri bagi mengelak menjadi mangsa buli di sekolah. - Foto ihsan BYBONDA

Dr Umirah berkata pelajar boleh mengelakkan diri daripada dibuli dengan sokongan rapat ibu bapa dan masyarakat.

“Penting bagi ibu bapa menjadi approachable (mudah didekati), supaya anak berani berkongsi pengalaman atau ancaman yang mereka hadapi di sekolah tanpa rasa takut.

“Anak juga perlu dididik tentang keberanian mempertahankan diri secara wajar, memahami bila perlu beralah dan bila perlu melawan jika ancaman nyata muncul,” katanya.

“Keyakinan diri yang kukuh harus dipupuk sejak di rumah melalui bimbingan dan teladan ibu bapa, supaya anak mampu menilai situasi dan membuat keputusan bijak apabila berada di luar rumah.

“Guru pula tidak boleh memandang ringan budaya ejek-mengejek atau rampas-merampas barangan, yang boleh membawa kepada pergaduhan lebih serius,” katanya.

Dr Umairah turut menyarankan pengawasan ketat terhadap barang yang dibawa ke sekolah dan penerapan undang-undang yang tegas, di mana pelajar yang membuli dikenakan hukuman bermakna, sekali gus memberi pengajaran dan mengekang budaya buli daripada berleluasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg