KUALA LUMPUR: Lima remaja perempuan bakal didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada 20 Ogos, atas tuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam, berkaitan kes buli pelajar dari Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan tuduhan ke atas lima remaja di bawah usia 18 tahun itu, mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak lazimnya dilakukan secara tertutup, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.
Selain itu, perkataan, komunikasi atau perbuatan itu didengar, dilihat atau sebaliknya disedari oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau cemas akibat daripada itu, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara, dalam satu kenyataan rasmi pada 18 Ogos, mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu yang terbabit dalam kes buli itu berdasarkan keterangan yang ada.
Menurut kenyataan itu, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat kerana ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Allahyarhamha Zara Qairina yang akan dijalankan di Mahkamah Kota Kinabalu, bermula September depan (2025).
Jabatan itu menegaskan, walaupun tuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan polis berhubung kematian Allahyarhamha Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues.
Pada 13 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata siasatan pasukan petugas khas berhubung kematian Zara Qairina menjurus ke arah berlakunya buli sebelum kejadian.
Katanya, ia hasil keterangan yang dirakamkan dan dapatan siasatan setakat ini, dan susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.
Pada 13 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata siasatan pasukan petugas khas berhubung kematian Zara Qairina, menjurus ke arah berlakunya buli sebelum kejadian.
Katanya, ia hasil keterangan 195 saksi yang dirakamkan serta dapatan siasatan setakat ini, dan susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman lebih berat untuk pesalah iaitu 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Allahyarhamha Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di asrama sekolahnya pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai, disyaki dibuli.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg