Bunuh isteri, anak dengan kejam: Lelaki warga S’pura dijel 74 tahun, 24 sebatan
Bunuh isteri, anak dengan kejam: Lelaki warga S’pura dijel 74 tahun, 24 sebatan
Bunuh isteri, anak dengan kejam: Lelaki warga S’pura dijel 74 tahun, 24 sebatan
MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka pada 18 Ogos, menjatuhkan hukuman 72 tahun penjara dan 24 sebatan terhadap pekerja penghantar makanan warga Singapura, Shahrul Nizam Zuraimy, 36 tahun, selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak lelaki tirinya secara kejam, pada 2019.
Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis, menetapkan keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas meneliti hujah dikemukakan oleh pihak defendan dan plantif berhubung pemberat bagi hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, serta keterangan impak oleh adik, ibu dan kakak mangsa.
Dalam penghakimannya, Datuk Anselm, berkata berdasarkan laporan patologi dan keterangan sepupu tertuduh, tindakan mengerat serta membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza menunjukkan tertuduh tidak mahu identiti mangsa dikenal pasti.
Ujarnya, pihaknya turut mengambil kira perbuatan tertuduh meletakkan kepala mangsa di atas siling untuk mengelakkan bau dikesan serta membuang sebahagian tubuh mangsa di kawasan semak.
“Tidak diragui bahawa perbuatan tertuduh adalah sangat brutal (kejam) apabila meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah. Namun, pindaan hukuman mati telah dibuat oleh pihak kerajaan pada 2023 dan saya menyifatkan situasi ‘nyawa dibalas nyawa’ tidak memberi justifikasi pada kes ini.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap tuduhan serta bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan agar kededua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap 11 Oktober 2019,” katanya, lapor Kosmo!.
Terdahulu, pihak pembelaan diwakili peguam, Encik Andrew Lourdes dan Encik Chua Yong Yi, merayu agar hukuman anak guam mereka diringankan dengan menyatakan tertuduh telah insaf apabila tampil membuat pengakuan melakukan pembunuhan itu kepada keluarganya di Singapura sebelum dia ditangkap.
Berdasarkan dua kertas tuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Norfazera Bidin, 27 tahun, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11 tahun, di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka Tengah, Melaka, antara 6 petang pada 6 Oktober 2019 dengan 7.30 pagi 7 Oktober 2019.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nur Syazwanie Marizan dan Encik Mohd Asri Abd Rahman Sidik, memohon hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira kekejaman tertuduh mengerat mayat dan membunuh anak tiri berusia 11 tahun, serta berhujah supaya pemenjaraan berasingan dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan jika tidak dihukum mati.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap tuduhan dan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh Shahrul Nizam ditangkap pada 11 Oktober 2019.

