Cadangan kolaborasi agung oleh Umno uji realiti penyatuan parti Melayu/Islam di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cadangan kolaborasi agung oleh Umno uji realiti penyatuan parti Melayu/Islam di M’sia

Namun ada pihak lihat ia tidak lebih sebagai agenda kelangsungan Umno sebagai parti politik Melayu terbesar di M’sia
Jan 24, 2026 | 3:00 PM

Cadangan kolaborasi agung oleh Umno uji realiti penyatuan parti Melayu/Islam di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Umno, kerjasama, Melayu
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan cetusan idea untuk membentuk kolaborasi agung yang menyatukan parti politik Melayu/Islam pada Perhimpunan Agung Umno 2025, 17 Januari lalu. - Foto BERNAMA

Selepas menegaskan peranan Umno sebagai ‘rumah bangsa’ bagi menyatukan Melayu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, di pentas sama, presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menarik perhatian dengan cadangan pembentukan satu ‘kolaborasi agung’.

Kolaborasi agung dirujuk Datuk Ahmad Zahid sebagai satu gagasan yang digambarkan sebagai payung penyatuan parti-parti Melayu/Islam di Malaysia.

Cadangan pembentukan kolaborasi agung untuk meletakkan semua parti politik Melayu/Islam di bawah satu gabungan dinilai pimpinan parti itu sebagai satu seruan besar di tengah landskap politik Malaysia yang berpecah belah dan rapuh.

Umno membentangkan cadangan kolaborasi agung pada waktu parti itu masih berperanan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – menyebabkan ia dilihat sesetengah pihak tidak lebih sebagai agenda kelangsungan Umno sebagai parti politik Melayu terbesar di Malaysia.

Malah Umno juga pada masa sama menekankan gagasan itu tidak bertujuan menggugat kestabilan kerajaan gabungan pelbagai parti itu, sambil menegaskan komitmen untuk setia sehingga tamat penggal, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dijangka berlangsung sebelum 2028.

Namun apa yang lebih penting di sebalik simbolik seruan tersebut ialah persoalan sejauh mana cadangan itu benar-benar realistik untuk dilaksanakan?

Landskap politik Melayu/Islam di Malaysia hari ini jauh lebih kompleks berbanding era dominasi Umno yang pernah 60 tahun memerintah Malaysia, terutama dengan kewujudan beberapa parti yang bukan saja bersaing daripada segi sokongan akar umbi, tetapi juga berbeza pendekatan, ideologi dan kepimpinan.

Pembangkang ketika ini yang lahir daripada serpihan Umno – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), meletakkan syarat ketat jika mahu kolaborasi itu dilaksanakan – Umno harus menamatkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP), keadaan yang tidak mungkin berlaku sebelum PRU16.

CADANGAN RETORIK POLITIK

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, berpendapat cadangan kolaborasi agung yang dibangkitkan Umno lebih bersifat retorik politik dan tidak sepenuhnya berpijak kepada realiti semasa di Malaysia.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan.
Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan. - Foto ihsan ARIFF AIZUDDIN AZLAN

Pensyarah Kanan Sains Politik itu berkata kerangka kolaborasi sedemikian berpotensi menguntungkan pihak-pihak tertentu dalam susunan kuasa politik sedia ada, namun tidak semestinya membawa perubahan bermakna kepada nasib dan gaya hidup orang Melayu. 

“Kolaborasi agung ini hanyalah satu kosmetik politik yang bertujuan menyelamatkan kedudukan politik Umno daripada terus menjunam dan ia diselitkan dengan mantera seperti Melayu/Islam untuk membeli jiwa pengundi Melayu agar terus menyokong perjuangan mereka.

“Agak sukar untuk gabungan ini berfungsi kerana prasyarat utama yang perlu diperhalusi adalah kepercayaan yang setara dalam kalangan rakan komponen parti.

“Apa yang paling penting adalah sifat terbuka dan berjiwa besar untuk memberikan sokongan kepada rakan berbeza parti dan haluan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut berpandangan sekiranya kolaborasi itu direalisasikan, ia berpotensi memberi implikasi besar terhadap persaingan kepartian, khususnya kepada Pakatan Harapan (PH) – rakan gabungan Umno dalam Kerajaan Perpaduan. 

“Ini berikutan perbezaan naratif antara agenda Melayu/Islam yang diketengahkan melalui kolaborasi tersebut dengan pendekatan demokrasi progresif PH yang tidak terlalu berpaksikan faktor etnisiti semata-mata,” katanya lagi.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malasia (UIAM), Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi. 
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malasia (UIAM), Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi.  - Foto ihsan ZAINAL ABIDIN SANUSI

Pandangan tersebut dikembangkan penganalisis politik yang juga Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi. 

RISIKO PEREBUTAN KUASA

Beliau menilai cadangan ‘kolaborasi agung’ itu masih mempunyai elemen realistik, namun dalam skop terhad. 

Menurutnya, kolaborasi tersebut lebih munasabah jika difahami sebagai satu ‘payung besar’ atau platform musyawarah isu-isu berkaitan kepentingan Melayu dan Islam, berbanding satu gabungan politik tunggal yang berfungsi sebagai rakan gabungan dalam pilihan raya atau kerajaan. 

Pendekatan ini, katanya, selari dengan penegasan Umno bahawa cadangan tersebut tidak bertujuan menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menyediakan ruang perbincangan dan penyelarasan isu tertentu.

“Bagaimanapun, usaha menjadikan kolaborasi itu sebagai satu ‘kapal tunggal’ yang mengemudi kerajaan akan berdepan cabaran besar. 

“Antaranya ialah persoalan kepimpinan, pembahagian kerusi dan disiplin gabungan, memandangkan setiap parti mempunyai kepentingan dan aspirasi tersendiri, termasuk keinginan menerajui kepimpinan negara. 

“Tanpa formula jelas mengenai siapa yang memimpin, bagaimana kerusi diagihkan, dan sejauh mana keputusan bersama perlu dipatuhi, gabungan sedemikian berisiko menjadi longgar dan mudah berpecah, khususnya ketika berdepan tekanan pilihan raya,” katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Dr Ariff Aizuddin berpandangan Umno perlu berpijak pada realiti baru dengan memperbaharui naratif dan pendekatan politiknya jika mahu kekal relevan, dan bukan sekadar bergantung kepada slogan penyatuan yang belum tentu diterjemahkan dalam bentuk dasar konkrit.

“Apa yang paling penting sekali adalah Umno perlu menghentikan naratif usang mereka seperti agenda membebaskan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, dan memberikan fokus sepenuhnya untuk memajukan negara dan mewujudkan suasana politik sejahtera.

“Jika ini boleh dicapai maka tidak mustahil Umno akan mula didekati dan kembali diberi kepercayaan untuk mentadbir negara,” jelasnya.

Dalam menilai dinamika kuasa semasa, Profesor Dr Zainal berpandangan bahawa parti yang mempunyai pengaruh paling besar dalam kalangan blok Melayu/Islam hari ini ialah pihak yang mampu menetapkan terma rundingan, bukan sekadar menyahut pelawaan.

“Reaksi berhati-hati PAS dan Bersatu terhadap cadangan Umno, termasuk meletakkan syarat tertentu dan mempersoalkan kebolehlaksanaannya, mencerminkan kedudukan tawar-menawar mereka yang lebih kukuh.

“Keadaan ini menggambarkan realiti bahawa pengaruh politik ditentukan oleh kelebihan pengaruh sebenar, bukan semata-mata keindahan slogan atau jenama gabungan,” ujarnya.

INSURANS POLITIK UMNO

Profesor Dr Zainal turut menyifatkan pendekatan Umno sebagai usaha mengambil ‘insurans politik’ – mengekalkan kestabilan dalam kerajaan sedia ada, sambil membuka saluran alternatif kepada blok Melayu/Islam bagi mengurangkan risiko terpinggir selepas pilihan raya akan datang.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman. - Foto fail

Sedang banyak pihak mempertikai cadangan penyatuan menerusi kolaborasi agung, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman, menegaskan ia satu usaha mendesak untuk meningkatkan kesedaran pengundi dan penyatuan Melayu.

“Kesedaran ini perlu dibuat di bawah satu bumbung, rumah dan payung besar, supaya kita boleh ceritakan secara mendalam apakah cabaran sebenar yang kita hadapi hari ini. Duduk berbincang dulu sebelum menolak,” katanya ketika mengulas cadangan yang mendapat reaksi negatif Bersatu dan PAS.

Beliau berkata landskap sokongan pengundi Melayu yang berbeza mengikut wilayah menuntut perbincangan strategik antara parti-parti Melayu/Islam.

“Di pantai timur, PAS menguasai, tetapi di pantai barat dan Lembah Klang keadaannya berbeza. Kita tidak mahu orang Melayu terus kehilangan kuasa di tanah sendiri. Ini satu keperluan mendesak untuk orang Melayu bersatu.

“Orang Melayu sekarang sedang berpecah, dan itu satu kerugian besar. Kita tidak boleh terlalu berlagak. Jika mahu menang, kita perlu berkongsi kuasa dan bersatu,” katanya menyeru pimpinan parti politik Melayu/Islam mengetepikan ego dan mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg