Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib, bertekad meneruskan usaha menambah baik sistem pengangkutan, mengatasi masalah banjir serta memperluaskan pembangunan masyarakat sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang mempertahankan kerusi itu berkata sebahagian besar projek menaik taraf jalan raya di kawasan Pasir Gudang kini hampir siap, tetapi penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan lalu lintas memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap.

“Saya melihat apabila jalan diperbesarkan sekali pun, lama-kelamaan ia akan sesak semula.

“Sebab itu saya mahu memperjuangkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap untuk penduduk Pasir Gudang.

“Saya mahu melihat lebih banyak perkhidmatan bas, termasuk bas percuma untuk pekerja yang berulang-alik ke kawasan perindustrian, serta laluan khas bagi bas, supaya perjalanan menjadi lebih lancar,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Laluan Lebuh Raya Pasir Gudang dari Jambatan Masai menuju ke arah persimpangan Taman Bukit Dahlia,  Pasir Gudang, yang dijangka siap pada November 2026.
Laluan Lebuh Raya Pasir Gudang dari Jambatan Masai menuju ke arah persimpangan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, yang dijangka siap pada November 2026. - Foto FACEBOOK BAHARUDIN MOHAMED TAIB

Menurut beliau, selain pengangkutan awam, isu sungai dan banjir kekal menjadi keutamaan memandangkan masalah itu telah lama membelenggu penduduk, khususnya di Kampung Sepakat.

Beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM47 juta ($14 juta) bagi kerja menaik taraf Sungai Masai yang dijangka bermula secara fizikal pada 2027.

“Projek ini melibatkan kerja melebarkan dan mendalamkan sungai bagi meningkatkan aliran air supaya kawasan seperti Kampung Sepakat tidak lagi berdepan banjir yang sering berlaku.

“Itulah harapan saya. Apabila projek ini siap nanti, penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Selain itu, Encik Baharudin berkata beliau turut berusaha mengangkat Kampung Pasir Gudang Baru sebagai destinasi pelancongan tempatan.

Jelasnya, kawasan berkenaan kini telah diwartakan sebagai lokasi pelancongan dan menerima pengiktirafan melalui pemasangan papan tanda pelancongan, selain dipilih sebagai Kampung Angkat Madani oleh Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

Kampung Angkat Madani adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Melalui program itu, kementerian, agensi kerajaan, atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ‘mengambil’ sesebuah kampung untuk dibangunkan dan diberi bantuan.

“Saya mahu kawasan ini terus dibangunkan dan dicantikkan supaya menjadi lokasi riadah serta tarikan baharu kepada penduduk dan pelawat,” katanya.

Mengulas visinya menjelang Maju Johor 2030, beliau berkata antara keutamaan ialah memastikan Pasir Gudang menjadi bandar lebih selamat, kondusif dan mesra golongan muda.

Menurutnya, sebuah padang bola sepak sintetik dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi, selain projek pembangunan pusat e-sukan dan kemudahan tinju masyarakat yang sedang diusahakan.

“Golongan belia memerlukan lebih banyak kemudahan untuk bersukan dan menjalankan aktiviti sihat.

“Itu antara perkara yang sedang saya laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Baharudin turut mengakui isu perumahan mampu milik semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk yang bekerja di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

“Pasir Gudang ialah kawasan industri. Ramai anak muda dari negeri lain datang mencari pekerjaan.

“Apabila rumah tidak mencukupi, kadar sewa meningkat.

“Sebab itu saya akan terus memperjuangkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan Johor demi kesejahteraan rakyat serta memastikan pelbagai projek yang sedang dirancang dapat direalisasikan.