Menyelesaikan isu prasarana asas akan terus menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Encik Md Ysahrudin Kusni, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Encik Md Ysahrudin, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, berkata selepas tiga hari berkempen, beliau telah mengunjungi kira-kira 25 peratus kawasan DUN Bukit Naning menerusi pelbagai program turun padang dan sesi bertemu pengundi.

Beliau berkata sambutan yang diterima daripada masyarakat setakat ini adalah menggalakkan, namun mengakui kempen kali ini memerlukan usaha yang lebih gigih bagi memastikan setiap kawasan dapat dikunjungi.

“Setakat ini, kami sudah menjelajah kira-kira 25 peratus kawasan.

“Sebelum penamaan calon lagi kami sudah mula bergerak bertemu penduduk, tetapi sepanjang tempoh kempen ini kami perlu bekerja lebih keras dan turun ke setiap lokasi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau, yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning dan pernah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, berkata antara lokasi yang dikunjungi termasuk kawasan Bukit Bakri, Batu 19, Bari, Batu 15, beberapa pusat daerah mengundi (PDM) serta masjid dan warung di sekitar Bukit Naning.

Mengulas isu yang dibangkitkan pengundi, Encik Md Ysahrudin berkata masalah prasarana asas masih menjadi rungutan utama penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

“Antara perkara yang sering dibangkitkan ialah lampu jalan, kerosakan jalan raya, gangguan binatang liar serta kebajikan penduduk.

“Selain itu, terdapat paip lama yang perlu diganti dan beberapa kawasan masih berdepan masalah bekalan air, terutama ketika musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata penduduk turut mencadangkan penyediaan tangki simpanan air di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan sebagai langkah sementara bagi mengurangkan kesulitan.

Selain itu, jelasnya, penduduk berharap kemudahan seperti stesen minyak yang dilengkapi mesin tunai automatik (ATM) dapat diwujudkan bagi memudahkan urusan harian mereka.

“Isu perumahan mampu milik juga sering dibangkitkan, khususnya dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman yang berharap lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina,” katanya.

Encik Md Ysahrudin turut berkata isu kebakaran berulang di tapak pelupusan sampah lama masih memerlukan perhatian kerana kejadian itu menjejaskan kehidupan penduduk berhampiran.

Beliau berkata walaupun tapak pelupusan berkenaan telah ditutup ketika pentadbiran PH pada 2018, kejadian kebakaran masih berlaku, dipercayai berpunca daripada tindakan individu yang mencari barangan kitar semula sebelum api merebak.

“Apabila kebakaran berlaku, ia mengambil masa yang lama untuk dipadamkan dan asap tebal menjejaskan kawasan sekitar.

“Ini antara perkara yang perlu diberikan penyelesaian secara menyeluruh,” katanya.