Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Encik Mohamad Alias Rasman, mendakwa sambutan yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen amat menggalakkan selepas berjaya menjelajah hampir 90 peratus kawasan dalam DUN berkenaan.

Encik Mohamad Alias yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata beliau terkejut dengan sambutan positif yang diberikan pengundi.

Sambutan itu diperolehi khususnya dalam kalangan golongan muda dan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), meskipun ini merupakan kali pertama beliau bertanding di kerusi berkenaan.

“Setakat hari ini saya sudah menjelajah hampir 90 peratus kawasan DUN Panti. Kami telah turun ke hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lokaliti untuk bertemu rakyat.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat positif. Terus terang saya agak terkejut kerana ini kali pertama saya bertanding di sini, namun penerimaan pengundi sangat baik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Encik Mohamad Alias berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Encik Ahmad Daniel Sharudin daripada Pakatan Harapan (PH); dan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali mewakili Barisan Nasional (BN); bagi merebut kerusi yang disandang Barisan Nasional selama dua penggal.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Encik Mohamad Alias Rasman (berdiri, kiri), turut ditemani oleh isteri beliau ketika berkempen.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Encik Mohamad Alias Rasman (berdiri, kiri), turut ditemani oleh isteri beliau ketika berkempen. - Foto FACEBOOK ALIAS RASMAN

Mengulas isu yang dibangkitkan pengundi, beliau berkata setiap kawasan dalam DUN Panti mempunyai keperluan berbeza memandangkan ia merangkumi tanah rancangan Felda, kampung tradisional, taman perumahan dan kawasan bandar.

Menurutnya, isu lot Generasi Kedua Felda merupakan antara kebimbangan utama yang dibangkitkan penduduk di kawasan seperti Felda Simbol, Linggiu dan Pengeli.

“Bagi kawasan Felda, isu yang paling banyak dibangkitkan ialah lot tanah Generasi Kedua. Itu antara perkara yang sering disuarakan penduduk,” katanya.

Beliau berkata bagi kampung tradisional pula, penduduk lebih menumpukan perhatian terhadap masalah kemudahan asas termasuk keperluan mewujudkan pusat sehenti perkhidmatan kerajaan bagi memudahkan urusan penduduk yang tinggal jauh dari bandar.

“Penduduk mencadangkan supaya bangunan kerajaan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, seperti Bangunan Transformasi Luar Bandar di Batu Empat, dijadikan pusat sehenti menempatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

“Ini kerana kawasan Panti sangat luas dan jaraknya jauh dari Bandar Kota Tinggi.

“Kemudahan seperti ini dapat memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh,” katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu banjir yang sering melanda beberapa kawasan termasuk Kampung Lukut dan Bukit Lintang, selain masalah tapak pelupusan sampah di Batu Empat yang menurutnya sudah lama membelenggu penduduk.

“Saya sendiri sudah dua kali menyertai bantahan bersama penduduk mengenai isu tapak pelupusan sampah ini, namun sehingga kini masalahnya masih belum diselesaikan sepenuhnya,” tambahnya.

Encik Mohamad Alias turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan kemudahan pengangkutan awam di Bandar Tenggara selepas terminal bas tidak lagi beroperasi, selain keadaan Klinik Kesihatan Bandar Tenggara dan Hospital Kota Tinggi yang disifatkannya semakin sesak berikutan kekurangan kemudahan dan tenaga kerja.

Beliau berkata satu dokumen yang mengandungi visi, misi serta tawaran khusus kepada penduduk DUN Panti akan dilancarkan dalam masa terdekat berdasarkan maklum balas yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen.

“Saya mahu tawaran yang dibawa benar-benar berpandukan masalah sebenar yang dihadapi rakyat di DUN Panti,” katanya.