Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ceroboh hutan simpanan Pahang: Lebih 3,000 pokok durian IOI, D24, Musang King ditebang

Aug 7, 2025 | 12:21 PM
Operasi memusnahkan pokok durian dilakukan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian di kawasan Hutan Simpanan Gunung Benum, di Raub, Pahang, yang diceroboh.
Operasi memusnahkan pokok durian dilakukan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian di kawasan Hutan Simpanan Gunung Benum, di Raub, Pahang, yang diceroboh. - Foto NSTP

RAUB (Pahang): Lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpanan Gunung Benum, di Raub, Pahang, ditebang dalam tempoh 18 hari ‘Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian’ bermula 21 Julai lalu.

Tindakan memusnahkan tanaman durian berusia antara tiga hingga 40 tahun itu dilakukan selepas Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mahu kegiatan menceroboh tanah di Pahang ditangani segera.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Encik Zainuddin Jamaluddin, berkata operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini membabitkan kawasan Hutan Simpanan Gunung Benum seluas 250 hektar yang mengambil masa secara berterusan selama dua bulan.

Beliau berkata selain memusnahkan tanaman durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24, IOI dan durian kampung itu turut ditebang dalam operasi berkenaan ialah pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan itu.

Katanya, operasi kali ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP); Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rela.

“Aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan dilakukan 24 jam.

“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan, kita tidak dapat bantahan atau ancaman daripada pekebun, malah mereka akur dengan tindakan jabatan yang tegas memusnahkan tanaman mereka yang ditanam atas tanah diceroboh secara haram.

“Kita juga sudah mengedarkan notis pengosongan tanah penerokaan Hutan Simpanan Gunung Benum yang dilakukan tanpa kebenaran pada 18 Julai lalu, dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada 7 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata cabaran operasi kali ini apabila pihaknya berdepan masalah memasuki kawasan diceroboh kerana terpaksa melalui tanah milik yang berpagar dan berkunci.

Katanya, mereka tidak memberi kerjasama hingga tindakan memotong kunci pagar terpaksa dilakukan pihak berkuasa.

“Kebanyakan individu menceroboh Hutan Simpanan Gunung Benum yang dijadikan kebun durian dan buah-buahan itu adalah masyarakat setempat dan sudah tiba masanya kita memusnahkan tanaman serta bangunan yang dibina itu.

“Kita tidak boleh tunduk dengan pihak yang mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan,” katanya.

Sultan Abdullah sebelum ini menegaskan tanah di Pahang tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg