Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cubaan caj RM120 dari KLIA ke KLCC gagal, ‘ulat’ kereta sewa ditahan

Nov 21, 2025 | 3:18 PM
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang pemandu kereta sewa yang cuba memerangkap penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan caj tinggi.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang pemandu kereta sewa yang cuba memerangkap penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan caj tinggi. - Foto JABATAN PENGANGKUTAN JALAN SELANGOR

Biarpun pihak berkuasa Malaysia terus mempergiat operasi membanteras ‘ulat’ teksi atau kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), masalah itu masih berlarutan dengan masih ramai berani cuba memerangkap penumpang dengan caj melampau.

Dalam kes terbaru pada 20 November, cubaan seorang pemandu kereta sewa mengenakan bayaran RM120 ($37.80) kepada penumpang warga Bangladesh di Terminal 1 KLIA untuk ke KLCC gagal selepas dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Selangor, Encik Azrin Borhan, memaklumkan seorang pemandu ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram ditahan hasil intipan dan pemantauan di Terminal 1 KLIA oleh Stesen Penguatkuasa KLIA.

Beliau berkata lelaki terbabit yang memandu Honda City cuba memujuk seorang penumpang warga Bangladesh untuk menggunakan perkhidmatannya dari Terminal 1 KLIA ke KLCC dengan tambang RM120, yang akan dibayar sebaik tiba di destinasi.

“Menyusuli itu, pemandu dan kenderaan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 November.

JPJ berkata individu didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Apad 2010), yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan sehingga tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. 

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, sebelum ini menyifatkan aktiviti ‘ulat teksi’ dan kereta sewa haram adalah perbuatan mengkhianati kepentingan negara dan perlu dibanteras secara bersama.

Beliau berkata masalah itu berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu tanpa penyelesaian, terutama di KLIA Terminal 1 dan 2 yang menjadi pintu masuk utama pelancong asing.

Beberapa usaha telah dilakukan KLIA bagi membantu membendung gejala ‘ulat’ teksi atau kereta sewa haram yang boleh menganiaya penumpang terutama pelancong asing.

Ia termasuk memperkenalkan sistem baru seperti aplikasi tempahan teksi, sistem giliran e-panggilan, serta ruang menunggu yang lebih selesa.

Pada akhir September lalu, Malaysia tular di media antarabangsa apabila seorang wanita yang menjadi ‘ulat’ teksi di KLIA, cuba mengenakan tambang 900 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang dipersetujui dengan penumpang.

Encik Azrin berkata sebelum ini wanita terbabit mengenakan caj RM836 kepada seorang pelancong China, walaupun pada mulanya bersetuju dengan harga RM83 saja bagi perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur.

Hasil intipan dan siasatan JPJ, wanita berusia 30-an tahun itu akhirnya berjaya ditahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg