KAJANG (Selangor): Walaupun tular di media antarabangsa, seorang wanita yang menjadi ‘ulat teksi’ atau teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, Selangor, tetap berani meneruskan kegiatan itu dengan mencari mangsa di pintu masuk utama negara.
Kegiatan wanita berusia 30-an tahun itu dipercayai sudah menjadi buah mulut di media luar negara apabila dia dikatakan cuba mengenakan tambang 900 peratus kali lebih tinggi daripada jumlah yang dipersetujui.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Encik Azrin Borhan, berkata sebelum ini wanita terbabit dikatakan mengenakan tambang RM836 ($255) daripada pelancong China walaupun pada mulanya bersetuju dengan harga RM83 saja bagi perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur.
“Suspek ditahan susulan penyamaran anggota JPJ menerusi Ops Ulat pada 1 pagi 22 September. Dia didapati menggunakan kereta Perodua Axia yang dipercayai disewa daripada orang lain.
“Berdasarkan rekod, ini kali pertama suspek ditahan, kita percaya dia ‘ulat’ tegar, walaupun sudah tular dia masih degil dan meneruskan kegiatan itu.
“Semasa ditahan suspek mendakwa melakukan kegiatan itu untuk mencari pendapatan tambahan,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Bangi, Selangor, pada 22 September, lapor Harian Metro.
Menurut Encik Azrin, ketika ditahan suspek cuba membawa pelancong dari Filipina sebelum ditahan anggota yang melakukan penyamaran.
Beliau berkata suspek tidak menyatakan pekerjaan tetapnya, tetapi hasil siasatan awal pihaknya percaya suspek bergerak secara berkumpulan untuk melakukan kegiatan itu.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pergerakan suspek dan setakat ini hanya wanita terbabit yang ditahan.
“Modus operandinya adalah menanti pelanggan dari dalam (KLIA). Tidak dapat dipastikan destinasi pelancong berkenaan, tetapi kita percaya ke Kuala Lumpur dan suspek mengenakan harga yang tinggi,” katanya.
Encik Azrin berkata siasatan awal pihaknya mendapati suspek mampu meraih pendapatan lumayan daripada kegiatan itu, namun tidak mendedahkan jumlahnya.
Katanya suspek ditahan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan kenderaan digunakan disita bagi membantu siasatan.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, dalam hantaran di Facebook rasminya berkata kementeriannya tidak akan bertolak ansur dengan ‘ulat teksi’ yang merosakkan imej negara terutama dalam kalangan pelancong.
Sebelum ini pada 20 September, Harian Metro, turut melaporkan dua lelaki warga Malaysia yang menjadi ‘ulat teksi’ ditahan JPJ dengan seorang daripadanya mengenakan caj RM220 ke atas pelancong warga China dari KLIA ke Kuala Lumpur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg