Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dakwaan tipu Agong berkaitan sokong Anwar jadi PM: Zahid sedia disiasat

Sep 2, 2024 | 2:49 PM
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto FREE MALAYSIA TODAY

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau terbuka disiasat berhubung dakwaan beliau menipu Yang di-Pertuan Agong apabila mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi penubuhan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang juga presiden Umno, berkata beliau mempunyai bukti dan terbuka sepenuhnya kepada siasatan oleh pihak berkuasa, termasuk polis, Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya harap pihak berwajib, polis atau ROS atau AG (Peguam Negara) sendiri boleh lakukan siasatan.

“Ini kerana 10 Ahli Parlimen (AP) yang menandatangani SD (penyokong Perikatan Nasional (PN)) juga menandatangani satu ikrar yang memberi saya (sebagai pengerusi BN) kuasa untuk membentuk kerajaan.

“Kerusi yang dimenangi mereka bukan hak peribadi tetapi milik parti atau Barisan. Ini jelas dicerminkan dalam tiga dokumen yang mereka tandatangani.

“Kami mempunyai rakaman video setiap orang yang menandatanganinya, dan mereka tidak berada di bawah sebarang tekanan pada masa itu,” katanya kepada media selepas melancarkan perhimpunan agung tahunan Parti Progresif Rakyat di sini pada 1 September, lapor The Star.

Pada 30 Ogos, Pengerusi Tetap cabang pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Armada Bersatu, Encik Akmal Zahin Zainal Zahir, membuat laporan polis terhadap Datuk Ahmad Zahid, yang mendakwa beliau memperoleh 30 SD daripada BN yang mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Encik Akmal menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada terdapat sebarang percubaan memperdaya atau mengelirukan Agong dalam melantik Perdana Menteri selepas PRU15 pada November 2022.

Isu SD itu dicetuskan semula oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada Ogos, yang mendakwa beliau mempunyai 115 SD daripada AP untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Namun beliau tidak dijemput oleh Agong selepas PRU15 bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, dakwa Tan Sri Muhyiddin.

Pada 24 Ogos, Tan Sri Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan, mengeluarkan perkataan menghasut dalam ceramah pada kempen PRK itu.

Sebelum ini, Datuk Ahmad Zahid menjelaskan Tan Sri Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri kerana 10 daripada 115 AP melakukan tandatangan bertindih melibatkan BN dan PN.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg