Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Umno tak mampu gerak solo pada PRU16, perlu terima hakikat politik semasa

Aug 23, 2024 | 3:40 PM
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama pimpinan Umno lain termasuk Timbalannya, Datuk Seri Mohamad   Hassan (kanan sekali) pada Perhimpunan Agung Umno
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama pimpinan Umno lain termasuk Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan (kanan sekali) pada Perhimpunan Agung Umno - Foto ASTRO AWANI

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan nada berbeza, ketika Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan hasrat akar umbi supaya Barisan Nasional (BN) wajar bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Pengerusi BN itu menebak lebih 2,000 ahli Umno yang menghadiri Persidangan Agung Umno (PAU) 2024 di Kuala Lumpur dengan pelbagai persoalan yang membangkitkan realiti semasa Umno dan sama ada parti itu berupaya mengukuh jika bergerak solo pada PRU16.

Pendekatan Datuk Ahmad Zahid yang kini memegang jawatan Timbalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas menjalin kerjasama usai PRU15 pada 2022, dilihat cuba membawa Umno kembali ke hala tuju dan landasan pengukuhan parti Melayu itu.

Soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, apakah bergerak solo adalah langkah terbaik buat Umno dalam keadaan politik semasa kini.

“Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?

“Ahli Umno saja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada PAU 2024, pada 23 Ogos.

“Mungkin hari ini kita bersama orang itu, mungkin minggu depan kita berubah. Ini (bergerak solo atau tidak) mengikut kepada parti, kehendak rakyat dan ahli. Sudah tentu jika ahli kata kita perlu pergi solo, kita pergi solo, tapi mesti ikut kehendak parti,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid terus meyakinkan ahli bahawa keputusan bergerak solo memberi risiko kepada masa depan Umno, justeru parti itu perlu berani berdepan dengan idea-idea baru dan perspektif yang beragam supaya tetap relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks.

“Umno tidak lagi dominan seperti dulu. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmahan pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti,” katanya.

Menyampaikan ucapan dasar bertema ‘Mendepani Dinamika Politik’, Datuk Ahmad Zahid menguatkan hujah kerjasama politiknya dengan menetapkan sasaran penguasaan Umno di kerusi Parlimen pada PRU akan datang, supaya parti itu kembali dapat membentuk kerajaan.

“Umno juga mesti dominan dari segi bilangan kerusi, mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian. Kita mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg