Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengakui kekalahan yang dialami pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai mesej jelas daripada pengundi dan berjanji akan menilai semula kelemahan parti bagi memperkukuh sokongan rakyat pada masa depan.

Pengerusi DAP Johor, Cik Teo Nie Ching, berkata parti itu menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka serta menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat Johor.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan yang diraih, selain merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Keputusan PRN Johor Ke-16 tidak berpihak kepada kami. Dengan rasa rendah hati, DAP menerima keputusan ini dan menghormati pilihan Bangsa Johor.

“Kami mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan mereka. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang keluar mengundi dan menghargai segala sokongan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Julai.

Menurut beliau, parti itu mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan keputusan pilihan raya kali ini memberi isyarat jelas supaya DAP meningkatkan usaha dalam mendekati rakyat.

Katanya, BN berjaya mempertahankan semua kerusi yang disandang sebelum ini, manakala pemindahan sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2022 kepada calon BN di beberapa kawasan turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kali ini.

“Undi yang diperoleh calon-calon PN pada PRN 2022 di Johor Jaya dan Perling telah beralih kepada calon BN dalam PRN Johor 2026.

“Justeru, walaupun Pakatan Harapan (PH) mencatat peningkatan peratusan undi di kedua-dua kerusi berkenaan, ia masih belum mencukupi untuk membawa kemenangan kepada calon PH,” katanya.

Beliau berkata DAP juga akan meneliti faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan di beberapa kerusi lain termasuk Jementah dan Tangkak sebelum mengambil langkah penambahbaikan.

“Kami akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Teo turut memberi penghargaan kepada sukarelawan parti yang disifatkan sebagai tulang belakang jentera kempen DAP sepanjang pilihan raya berlangsung.

Menurut beliau, ramai pihak mempersoalkan mengapa bendera DAP dipasang lebih lambat berbanding BN, namun hakikatnya parti itu memilih untuk bergantung sepenuhnya kepada tenaga sukarelawan tanpa menggunakan khidmat kontraktor berbayar.

“Ramai bertanya mengapa bendera BN sudah memenuhi jalan sedangkan kami masih perlahan. Ada juga yang menyangka kami kekurangan dana atau tenaga kerja.

“Hakikatnya kami memang bergerak lebih perlahan kerana pihak lawan mempunyai jentera yang lebih besar serta kontraktor berbayar yang mampu memasang bendera dalam masa singkat.

“Namun apa yang orang ramai tidak nampak ialah tiada satu pun kerja pemasangan kami dari sumber luar.

“Mereka yang memanjat tangga dan mengikat bendera sehingga 2 pagi ialah sukarelawan yang datang terus dari tempat kerja.

“Mereka yang menyusun inventori dan menyediakan buluh juga semuanya bekerja secara sukarela tanpa menerima sebarang bayaran,” katanya.

Beliau berkata walaupun DAP tidak mempunyai jumlah bendera sebanyak parti lawan, setiap bendera yang dipasang menjadi lambang pengorbanan para sukarelawan.

“Pilihan raya sudah berakhir, tetapi penghargaan ini adalah untuk wira-wira yang tidak didendangkan. Terima kasih kerana menjadi tunjang perjuangan kami sepanjang kempen,” katanya.