DAP bersidang Julai, tentukan kekal atau letak jawatan dalam kerajaan
DAP bersidang Julai, tentukan kekal atau letak jawatan dalam kerajaan
KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai, membolehkan perwakilan parti menentukan sama ada pemimpin mereka dalam kerajaan harus berundur atau sebaliknya.
Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, menyifatkan kongres itu sebagai “referendum dalaman”.
Beliau menegaskan, jika perwakilan memilih untuk menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 Ahli Parlimen (AP) DAP tetap akan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Malaysiakini memetik laporan Sin Chew Daily melaporkan lebih 4,000 perwakilan pusat dijangka mengundi.
Ini menjadikan kongres itu yang pertama di mana persoalan politik sepenting ini diputuskan oleh dewan perwakilan tertinggi parti, bukannya hanya oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
“40 AP DAP akan memastikan kestabilan kerajaan, tetapi peranan kami dalam kerajaan, sama ada untuk terus menjadi menteri atau timbalan menteri, atau meletak jawatan daripada semua jawatan rasmi, termasuk ahli majlis tempatan dan jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan, terpulang kepada perwakilan untuk memutuskannya.
“Kita tidak boleh mahu mentadbir tanpa menanggung beban tadbir urus. Sebaik saja kongres memutuskan untuk kekal dalam kerajaan, seluruh DAP mesti berkongsi tanggungjawab dan bertindak bersama,” katanya.
Encik Loke berkata jika DAP memilih untuk kekal dalam kerajaan, parti mesti memikul tanggungjawab dan tekanan pentadbiran, dan tidak boleh mentadbir sambil menentang kerajaan.
Kongres kebangsaan tahunan parti itu pada asalnya dijadualkan pada September 2025, tetapi telah ditangguhkan ke Julai 2026.
Encik Loke, yang juga merupakan Menteri Pengangkutan, dilaporkan berkata bahawa usul teras akan menentukan hala tuju parti untuk 12 hingga 18 bulan kritikal sebelum PRU16.
Beliau menjelaskan bahawa CEC sebelum ini memutuskan untuk menyertai atau meninggalkan gabungan politik mengikut perlembagaan parti, dan keputusan itu tidak pernah diundi oleh perwakilan.
Namun, keadaan semasa, terutamanya kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, menuntut perwakilan membuat keputusan kolektif mengenai hala tuju parti.
Pada Disember 2025, DAP berikrar untuk mendapatkan keyakinan rakyat susulan prestasi buruk parti itu dalam PRN Sabah, yang menyaksikan ia tewas kesemua lapan kerusi ditandingi, termasuk enam yang dimenanginya sebelum ini dengan majoriti besar dalam PRN pada 2020.
Sementara itu, Encik Loke menekankan bahawa langkah DAP bukanlah ancaman kepada Datuk Anwar kerana parti itu tidak akan menarik balik sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan, apatah lagi menyertai sebarang pengaturan ‘kerajaan pintu belakang’.

