Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DAP, MCA beri amaran terhadap gabungan politik PH-BN

Dec 10, 2025 | 2:44 PM
Anthony Loke, DAP
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke. - Foto KOSMO!

Dua parti politik yang mewakili kebanyakan masyarakat Cina di Malaysia iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) kini menghadapi ‘konflik’ dengan gabungan politik yang dinaungi, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

DAP membuat tuntutan mengejutkan apabila menegaskan akan menilai semula peranannya dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, andai beliau gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sementara MCA pula dilaporkan tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan strategiknya bersama BN, sekiranya Umno terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Laman web Malaysiakini pada 9 Disember melaporkan Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, menekankan tuntutan reformasi itu, namun menjelaskan ia tidak bermakna DAP yang memegang bilangan kerusi terbanyak dalam Parlimen, akan menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Datuk Anwar, sekali gus berisiko mencetuskan kekacauan politik.

Walaupun Encik Loke tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP keluar daripada Kabinet dan menjadi penyokong kerajaan saja.

Kenyataan itu menyusul selepas kekalahan teruk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah pada 29 November, yang menyaksikan DAP tewas di kesemua lapan kerusi ditandingi.

Menyusuli kekalahan teruk itu, kepimpinan pusat DAP mengadakan mesyuarat tergempar dan berjanji untuk mempercepatkan reformasi bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi terhadap parti itu.

Pengkritik pula menuduh DAP seperti ‘hilang suara’ selepas mendapat kuasa menjadi kerajaan, berbanding kelantangan ketika berjuang sebagai parti pembangkang.

Encik Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata dalam tempoh enam bulan akan datang, kerajaan mesti menunjukkan perubahan ketara dan menawarkan harapan, sekali gus mengubah persepsi negatif awam terhadap parti itu.

“Saya tidak kata semua masalah boleh diselesaikan dalam enam bulan, tetapi kita mesti lihat beberapa perubahan – cukup untuk pengundi merasakan kerajaan ini masih ada harapan. Persepsi awam mesti diperbaiki.

“Jika persepsi tidak boleh diubah, maka selepas enam bulan DAP mesti membuat keputusan muktamad, tetapi keputusan itu tidak bermakna kita berhasrat untuk membiarkan kerajaan jatuh – sama sekali tidak,” tegasnya dalam dalam wawancara dengan saluran YouTube berbahasa Cina The Keywords.

“Selepas enam bulan, apa saja keputusan dibuat DAP, kita sudah maklumkan kepada Datuk Anwar bahawa kita tidak akan menarik balik sokongan terhadapnya, sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang,” kata Encik Loke lagi.

Laporan itu tidak menyenaraikan secara terperinci tuntutan reformasi yang dimaksudkan DAP, tetapi ada menyebut antaranya mengenai tuntutan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

UEC, peperiksaan yang dilaksanakan di sekolah Cina di Malaysia, tidak diiktiraf oleh kerajaan untuk kemasukan ke universiti awam, namun, ia diiktiraf oleh universiti swasta di Malaysia dan banyak universiti luar negara.

Dalam pada itu, MCA menerusi Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, dalam ucapannya semasa Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada 7 Disember, memberi amaran keras terhadap BN agar tidak meneruskan kerjasama dengan PH dan DAP pada PRU akan datang atau berdepan dengan tindak balas daripada mereka.

MCA dan DAP walaupun mewakili majoriti kaum Cina, diketahui adalah seteru politik kerana konflik kepentingan dan strategi politik yang menyebabkan hubungan kededua parti kerap dilihat tegang.

Datuk Wee juga menegaskan bagaimana PH berubah pendirian dalam langkah politik mereka, termasuk terkait hubungan dengan Umno yang mahu dikuburkan PH ketika kempen PRU15.

“Sejak memegang kuasa, DAP dan PH telah membuat pusingan-U dalam begitu banyak isu, meninggalkan janji demi janji.

“Lebih teruk, mereka bukan saja mengkhianati rakyat, malah mengkhianati prinsip mereka sendiri.

“Jika menjelang PRU nanti masih ada rakan BN yang mahu terus bekerjasama dengan mereka (PH dan DAP), itu hanya bermakna semangat BN sudah mati sepenuhnya.

“Dalam keadaan itu, kita hanya boleh berkata: Selamat maju jaya! MCA ada jalannya sendiri,” kata Datuk Wee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg