KUALA LUMPUR: Individu perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan supaya merujuk terlebih dahulu dengan pengurus pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, sebelum menghantar bantuan kepada mangsa yang berlindung di lokasi berkenaan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Cik Anfaal Saari, berkata hal itu bagi mengelakkan daripada berlakunya lambakan barangan yang tidak diperlukan.
“Mana-mana NGO lebih baik rujuk terlebih dahulu berbanding hantar barang yang mungkin tidak diperlukan kepada penerima bantuan.
“Disebabkan PPS berada dalam bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi itu akan menyelaraskan bantuan yang diterima,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada wanita dan kanak-kanak di PPS berkenaan.
Beliau berkata sumbangan yang diterima di PPS itu cukup untuk menampung keperluan mangsa bagi tempoh sehingga empat hari, lapor Berita Harian Malaysia.
Cik Anfaal berkata pihaknya juga akan mengerahkan agensi kerajaan negeri iaitu Wanita Berdaya Selangor (WBS) untuk membantu memastikan penyusunan barangan bantuan agar lebih teratur.
Sementara itu, suasana ceria pada pagi Hari Raya kedua bertukar cemas bagi seorang wanita yang baru sebulan melahirkan anak dan masih berpantang, apabila beliau dikejutkan dengan cahaya jingga terang dan api marak di belakang rumah.
Cik Mastura Mohd Shaari, 33 tahun, berkata beliau dan keluarga sedang bersiap-siap untuk menziarahi rumah saudara apabila saluran paip gas yang berada kira-kira 100 meter dari rumahnya di Putra Heights itu meletup dan menyebabkan kebakaran besar.
Suaminya, Encik Li Siraat, 45 tahun, terus bertindak menghubungi bomba.
Ekoran panik, beliau dan suami bergegas keluar rumah bersama enam anak mereka dan memandu ke rumah ibunya sehinggakan anak bongsunya itu tidak sempat dipakaikan baju.
“Walaupun dah jauh tetapi masih terasa bahangnya,” kata beliau ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights.
Beliau yang terpaksa meninggalkan kediamannya sehelai sepinggang berkata JKM di PPS itu sangat mengambil berat terhadap kesihatan beliau yang masih dalam keadaan pantang dan bayinya yang baru berusia sebulan.
“Alhamdulillah setakat ini okey semua mencukupi... sebab waktu itu memang anak pun tak sempat dipakaikan baju... syukurlah di sini ramai yang menyumbang,” kata penduduk Kampung Sungai Baru itu.
Seramai 529 mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Masjid Putra Heights membabitkan 485 orang daripada 110 keluarga manakala 44 daripada lapan keluarga lagi berteduh di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Camelia).
Seorang lagi mangsa ditemui di PPS Masjid Putra Heights, Cik Norsyalida Abdul Wahab, 50 tahun, berkata:
“Duduk sini okey, makan semua cukup sampai ada lebih pula dan pegawai di sini pun semua cukup prihatin, doktor pun selalu jenguk lihat keadaan anak saya, jadi tiada masalah setakat ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg