Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari pukat ke padi, suara Muar mahu didengar jelang PRN Johor
Dari pukat ke padi, suara Muar mahu didengar jelang PRN Johor
Nelayan, pesawah dan peniaga kecil harap kerajaan baru lebih faham cabaran setempat
Dari pukat ke padi, suara Muar mahu didengar jelang PRN Johor
Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 membawa harapan memulihkan ekonomi selepas tempoh pandemik, pilihan raya kali ini pula dilihat sebagai peluang menuntut janji yang lebih dekat dengan kehidupan harian rakyat.
Bagi sebahagian penduduk Muar, warna dan lambang parti tidak lagi menjadi pertimbangan utama.
Sebaliknya, yang lebih penting ialah keupayaan calon dan wakil rakyat menyelesaikan masalah setempat dengan cepat, menyantuni penduduk secara berterusan serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi nelayan, petani, peniaga dan anak muda.
Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa kawasan di Muar mendapati rakyat tidak mahu wakil rakyat hanya hadir ketika majlis rasmi atau musim pilihan raya, tetapi mahu hubungan itu menjadi amalan biasa selepas undi diberikan.
Nelayan ingin subsidi bahan api dipanjangkan, ditambah
Di Parit Jawa, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Muar, Encik Mohamad Nor Hakim Simon, 36 tahun, berkata antara isu utama yang dibangkitkan nelayan ialah keperluan memanjangkan serta menambah subsidi bahan api, terutama petrol dan diesel.
Beliau berkata kuota bahan api yang dinikmati sebahagian nelayan ketika ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan turun ke laut, sekali gus menambah tekanan kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan.
“Kuota yang mereka miliki sekarang tidak mencukupi dan mereka meminta penambahan supaya bahan api itu dapat digunakan bagi meringankan beban nelayan setempat,” katanya ketika ditemui di Pantai Leka yang terletak di Muar, Johor.
Menurut beliau, sebahagian nelayan tradisional di Muar juga masih belum memiliki lesen walaupun aktif turun ke laut sejak sekian lama.
Keadaan itu, katanya, menyukarkan mereka menikmati kesinambungan bantuan, termasuk subsidi, elaun sara hidup dan insentif lain, yang lazimnya, disalurkan kepada nelayan berlesen.
“Lesen itu penting supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada pemberian subsidi dan bantuan sara hidup nelayan, sekali gus meringankan beban yang dihadapi,” tambahnya.
Perhatian khusus kepada sektor pertanian
Di Kampung Tanjung Gading, Encik Vincent Poh, 43 tahun, yang mengetuai pusat pengumpulan pemilik ladang durian daerah Tangkak, berkata musim durian kali ini baru sahaja bermula sepenuhnya selepas mutu buah pada awal Jun belum mencapai tahap memuaskan.
Pusat itu kini mengumpulkan sehingga 10 tan durian sehari, dengan bekalan diperoleh dari kawasan sekitar Tangkak, Pagoh dan Jementah.
Jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh terdekat apabila musim durian mencapai kemuncaknya.
“Awal Jun, durian sudah mula gugur, tetapi mutunya belum begitu baik. Sekarang, pada pertengahan bulan, mutu buah sudah lebih baik dan minggu depan, kami jangka operasi boleh berjalan penuh,” kata Encik Poh.
Beliau berkata durian yang dikumpulkan di pusat itu banyak dihantar ke luar negara, terutama ke China dan Hong Kong, selain Indonesia, manakala pasaran Singapura lazimnya dikendalikan ejen lain.
Menurutnya, perjalanan perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan di tepi jalan kira-kira 10 tahun lalu, sebelum beliau mengubah haluan kepada penghantaran ke luar negara selepas melihat pasaran tempatan mempunyai had tertentu.
“Dulu, kami hanya berniaga di tepi jalan. Kalau cuti, jualan boleh meningkat, tetapi pada hari biasa, kadang-kadang RM100 ($31) pun susah hendak dapat. Jadi kami cuba ubah cara berniaga dan mula menghantar durian ke luar negara,” katanya.
Namun, cabaran paling besar bukan sekadar harga buah, tetapi urusan dokumen dan kelulusan yang tidak cukup pantas memenuhi keperluan hasil pertanian yang mudah rosak.
Beliau berharap kerajaan baharu Johor memberi perhatian khusus kepada sektor pertanian yang bergantung kepada masa, terutama ketika musim buah.
“Kalau buah sudah siap, ia tidak boleh tunggu lama. Kami perlukan sijil fitosanitari, Borang E (borang permohonan lesen) dan dokumen lain dengan cepat. Jika hari cuti atau hujung minggu, urusan menjadi sukar sedangkan penghantaran perlu dibuat segera.
“Kerajaan perlu ada satu pusat khas yang faham urusan hasil pertanian. Kami bukan minta dilayan istimewa, tetapi kami mahu sistem yang bergerak mengikut keperluan musim.
“Kalau perlu bayar untuk perkhidmatan tambahan pada hari cuti, kami sanggup bayar, asalkan barang boleh keluar,” tambahnya.
Petani dibebani kos mesin menuai, membajak
Di kawasan sawah Kesang Tasek pula, mantan pengerusi kelompok sawah kawasan itu, Encik Sulaiman Wagiman, 67 tahun, berkata sawah di situ sudah diusahakan turun-temurun dan masih menjadi lambang keterjaminan makanan masyarakat setempat.
Walaupun beliau kini bersawah sebagai kegiatan sampingan selepas bersara, tanah keluarga yang diwarisi daripada ibu bapanya tetap diusahakan kerana sayang meninggalkannya terbiar.
“Dulu, sawah ini mata pencarian saya untuk keluarga. Sekarang anak-anak sudah besar dan berkeluarga, jadi saya buat sebagai hobi. Tetapi sawah ini sudah berpuluh-puluh tahun wujud, dari satu generasi ke satu generasi,” katanya.
Menurut Encik Sulaiman, kawasan sawah itu, lazimnya menuai dua kali setahun, namun kos mengusahakan padi semakin meningkat.
Beliau berkata kos menggunakan mesin menuai yang dahulu sekitar RM160 kini meningkat kepada kira-kira RM200, manakala kos membajak turut naik daripada sekitar RM160 kepada kira-kira RM230.
“Semua kos naik. Mesin menuai naik, membajak naik, racun dan kerja meratakan tanah pun ada kos. Walaupun ada bantuan kerajaan, beban petani masih terasa,” katanya.
Beliau menambah hasil bersih pesawah tidaklah sebesar yang disangka kerana pendapatan perlu dibahagi mengikut musim, selain ditolak pelbagai kos pengeluaran.
“Kalau satu hektar dapat sekitar RM3,000 semusim, itu belum tolak kos racun, bajak, menuai dan kerja lain. Bila dibahagi beberapa bulan, pendapatannya sangat nipis. Sebab itu kebanyakan pesawah ada pendapatan lain,” katanya.
Namun, Encik Sulaiman berkata ramai petani terus mengusahakan sawah kerana rasa tanggungjawab terhadap tanah dan makanan utama negara.
“Padi ini ada semangatnya. Walaupun untungnya tidak besar, orang tetap mahu buat kerana nasi makanan utama kita. Kalau bukan kita yang tanam, siapa lagi?” katanya.
Orang muda perlu arah tuju, kegiatan membina
Di Pasar Awam Parit Jawa, pengusaha gerai ikan, Encik Muhammad Azhar Azman, 26 tahun, berkata suasana perniagaan kini berbeza berbanding dahulu kerana pelanggan pasar semakin berkurangan selepas semakin banyak pasar raya dibuka.
Beliau yang membantu perniagaan keluarga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata waktu operasi di pasar juga berubah, dengan peniaga lazimnya pulang lebih awal berbanding ketika pasar lama masih beroperasi.
“Dulu di pasar lama, orang boleh berniaga sampai 6.30 pagi. Sekarang sekitar 4 atau 4.30 pagi pun, kita sudah mula balik kerana orang semakin kurang,” katanya.
Sebagai anak muda yang terus tinggal dan bekerja di Parit Jawa, Encik Azhar berharap kerajaan memberi lebih perhatian kepada kegiatan belia di kawasan itu.
“Kalau boleh, kerajaan bimbing anak muda dan banyakkan kegiatan untuk mereka. Di sini ada tempat bersukan, tetapi kegiatan tidak banyak dijalankan. Bila tiada kegiatan, ada yang melepak atau buat perkara tidak berfaedah,” jelasnya.
Ingin lihat suasana kampung ditambah baik
Tidak jauh dari situ, pemilik kedai Asam Pedas Mak Ngah Parit Jawa, Encik Muhammad Syakir Khairudin, 29 tahun, pula berharap kawasan Parit Jawa dibangunkan dengan lebih tersusun tanpa menghilangkan suasana kampung yang menjadi tarikan utamanya.
Kedai itu diasaskan ibunya pada 1992 dan kini diteruskan Encik Muhammad Syakir, anak bongsu tiga beradik.
“Saya harap tempat ini membangun, lebih cantik dan lebih tersusun. Peniaga seperti kami juga perlukan papan tanda yang jelas supaya orang luar tahu ada kedai di bahagian dalam,” katanya.
Beliau menambah kedudukannya berhampiran pantai mempunyai potensi besar, tetapi perlu ditambah baik dari segi tempat teduh, pokok dan kemudahan awam agar pengunjung lebih selesa.
“Dulu suasana kampung lebih terasa kerana banyak pokok dan suasananya redup. Sekarang pembangunan ada, tetapi suasana kampung itu semakin kurang. Pembangunan bagus, tetapi susunannya mesti betul,” katanya.
Rakyat perlu berubah, sebagaimana kepimpinan bertukar
Sementara itu, di kawasan Bakri, pemilik Yuncheezy Burger, Encik Mohd Hairul Nizam Mohamad Ariffin, 36 tahun, tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kepada mana-mana pemimpin, tetapi mahu peniaga dan rakyat sendiri juga berubah serta berusaha.
Beliau mula berniaga pada 2016 selepas kematian ayahnya, yang sebelum itu mengusahakan kebun sawit dan durian.
“Selepas ayah meninggal, saya hilang punca. Waktu itu saya baru mendapat anak pertama. Saya jual motosikal dan mula berniaga burger secara kecil-kecilan,” katanya.
Daripada jualan kecil itu, perniagaannya berkembang sehingga beliau kini mengendalikan kedai yang sudah beroperasi hampir dua tahun dan mempunyai 13 pekerja, termasuk dirinya sendiri.
“Alhamdulillah, orang Muar, Bakri dan kawasan luar banyak menyokong saya. Dari sedikit demi sedikit, rezeki bertambah sehingga dapat buka kedai,” jelasnya.
Encik Mohd Hairul menambah, perniagaan makanan memerlukan keberanian, terutama ketika kos hidup meningkat dan tenaga kerja tidak menentu.
“Kalau kita hanya fikir kos rendah, kadang-kadang kita tidak berani bergerak. Tetapi bila ramai orang datang, tenaga kerja pula kurang. Jadi kita kena berani dan pandai menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau juga mengekalkan beberapa resipi ibunya, termasuk mi bandung, kerana mahu warisan keluarga terus hidup dalam perniagaannya.
“Arwah emak memang terkenal dengan mi bandung. Jadi saya kekalkan resipi itu sampai hari ini. Saya percaya, jangan hanya tengok orang lain buat apa. Kita kena tahu kelebihan diri sendiri,” ujarnya.
Menurut Encik Mohd Hairul, siapa pun yang menjadi pemimpin, rakyat tetap perlu menggerakkan diri sendiri, manakala kerajaan harus memastikan suasana perniagaan kecil tidak terus terbeban.
“Kalau pemimpin berubah banyak kali pun, tetapi kita sendiri tidak mahu berubah, sama juga. Yang penting, kita bergerak. Tetapi kerajaan juga perlu faham keadaan peniaga kecil,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini, menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.
Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi. Ketika ini, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia satu kerusi.
“
“Kalau boleh, kerajaan bimbing anak muda dan banyakkan kegiatan untuk mereka. Di sini ada tempat bersukan, tetapi kegiatan tidak banyak dijalankan. Bila tiada kegiatan, ada yang melepak atau buat perkara tidak berfaedah.”“
“Semua kos naik. Mesin menuai naik, membajak naik, racun dan kerja meratakan tanah pun ada kos. Walaupun ada bantuan kerajaan, beban petani masih terasa. Kalau satu hektar dapat sekitar RM3,000 ($941) semusim, itu belum tolak kos racun, bajak, menuai dan kerja lain. Bila dibahagi beberapa bulan, pendapatannya sangat nipis. Sebab itu kebanyakan pesawah ada pendapatan lain.”