PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam Malaysia dapat menjimatkan RM4.22 juta ($1.36 juta) subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata data terkini itu direkodkan hingga 25 Mei, sejak pelaksanaan inisiatif itu dibuat bermula 15 April lalu, sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis bekalan sejagat.

“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lalu.

“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia, ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi (Memupuk Tanggungjawab, Akauntabiliti dan Integriti) (ERAT) di sini pada malam 25 Mei.

Pada 30 April lalu, media melaporkan kerajaan dapat menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR yang melibatkan 200,000 penjawat awam.

Tan Sri Shamsul Azri berkata bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan berkesan serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, setiap ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif (menyesuaikan diri) dan strategi efektif.

“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengajak seluruh penjawat awam untuk mengimbas kembali nilai M.A.L.A.Y.S.I.A, iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif, semasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira status individu berkenaan dalam masyarakat.

“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata tugas sebagai ketua jabatan bukanlah satu amanah yang mudah kerana mereka memikul beban tanggungjawab yang besar.

“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan,” katanya.