PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) membabitkan penjawat awam sejak 15 April lalu, merekodkan penjimatan bahan api sebanyak 334,000 liter bernilai RM678,000 ($217,520).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri, yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 April.

“Setakat hari ini, jumlah penjawat awam yang mendaftar di bawah program bekerja dari rumah mencecah 155,000 orang.

“Sejak 15 April lalu sehingga 21 April, dianggarkan penjimatan yang berjaya dilakukan berjumlah 334,000 liter minyak bersamaan dengan penjimatan RM678,000,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet pada 22 April, lapor Harian Metro.

Datuk Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara turut diingatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sektor swasta mengenai pelaksanaan BDR membabitkan sektor berkenaan.

Katanya, ia bagi melihat secara keseluruhan penjimatan yang berjaya diperoleh.

Sebelum ini, Datuk Anwar berkata kerajaan akan melaksanakan dasar BDR untuk penjawat awam, sebagai langkah penjimatan dalam penggunaan bahan api ketika konflik Timur Tengah kian berlarutan.

Dasar berkenaan telah bermula pada 15 April lalu, dengan hanya penjawat awam yang tinggal di kawasan lapan kilometer ke atas dari pejabat layak BDR untuk tiga kali seminggu iaitu dari Selasa hingga Khamis.

Sebelum ini, Datuk Anwar berkata kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara (petroleum) mencukupi serta stabil sehingga Mei 2026, dengan beberapa laporan lain menyatakan ia dijamin hingga hujung Jun 2026. 

Perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran sejak Februari lalu telah menyebabkan gangguan tenaga sejagat, terutama apabila laluan utama kapal yang membawa bahan api di Selat Hormuz terganggu.

Datuk Anwar mengingatkan Jemaah Menteri supaya semua kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya melaksanakan langkah keutamaan bagi memastikan bekalan bahan api dapat dilanjutkan.

Menurut Datuk Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Anwar telah menegaskan agensi kerajaan perlu mempergiatkan penggunaan mesyuarat secara dalam talian bagi mengurangkan keperluan pertemuan bersemuka.

“Kementerian dan agensi turut disaran mengurangkan penganjuran program serta perjalanan ke luar negara sebagai langkah penjimatan.

“Perdana Menteri turut menekankan supaya premis milik agensi kerajaan diutamakan dalam pelaksanaan bengkel dan program latihan, bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya.