KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ yang masih berdegil menjalankan kegiatan tanpa izin di sekitar Pintasan Saloma dan Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Empat peralatan disita dan empat kompaun dikeluarkan.

Tindakan ini, melalui ‘Op Lens’ Siri 4/2026, dilakukan pada 13 April dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).

DBKL menjelaskan operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada penguatkuasaan berterusan ke atas perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di tempat tempat awam.

“Empat notis kompaun dikeluarkan kepada individu yang didapati menawarkan perkhidmatan tanpa kebenaran, selain menyita empat peralatan jurufoto mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Dua notis turut diserahkan kepada ‘ulat foto’ terbabit untuk tindakan mahkamah,” kata kenyataan itu, lapor Buletin TV3.

Semua peralatan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk proses rekod dan dokumentasi lanjut.

Dalam operasi berasingan pada hari yang sama, DBKL menyita peralatan perniagaan di lima premis sekitar Taman Pusat Kepong dan Jalan Mergastua yang menghalang laluan awam.

DBKL menjalankan pemeriksaan ke atas aktiviti perniagaan restoran makanan dan minuman yang meletakkan peralatan, seperti kerusi, meja, payung dan lain-lain, di laluan pejalan kaki, petak meletak kereta, atas jalan, dan tempat awam.

“Susulan itu, lima aktiviti perniagaan dikenakan tindakan sita dan pindah halangan serta-merta, termasuk pengeluaran notis kompaun mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Peralatan perniagaan yang disita dibawa ke Setor Sitaan DBKL untuk direkod dan didokumentasikan,” tambah DBKL.