PUTRAJAYA: Tindakan seorang warga emas menampar pemuda bukan Islam berkali-kali hanya kerana makan di khalayak ramai ketika Ramadan ini di Johor Bahru, disifatkan provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara ini yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya menerusi hantaran di X pada 17 Mac.
Datuk Aaron berkata isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan dibiarkan sehingga boleh meruntuhkan keharmonian rakyat.
“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Saya dimaklumkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” kata Datuk Aaron.
Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X, mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya adakah dia seorang Islam atau sebaliknya, sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.
Mangsa memaklumkan beliau ke kedai berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.
“Selepas tanya saya Islam atau bukan Islam serta marah kenapa makan pada masa puasa ini, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya, dia tampar saya beberapa kali pula,” katanya menerusi perkongsian itu.
Pemuda itu bersyukur kerana anak kepada warga emas terbabit segera menenangkan keadaan sebelum memohon maaf terhadap tindakan bapanya.
“Pak cik itu tidak menghormati dan tampar saya di tempat awam.
“Saya boleh terima permohonan maaf tetapi saya tak boleh lepaskan perkara ini,” katanya, yang turut memuat naik rakaman video kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 21 tahun pada 9.08 malam 16 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg