Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Tak perlu layan Umno agar pilihan raya dipercepatkan’
‘Tak perlu layan Umno agar pilihan raya dipercepatkan’
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak perlu melayan desakan Umno yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) segera diadakan, sebaliknya wajar menghabiskan penggal pentadbiran sehingga hujung 2027.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata ini kerana banyak perkara yang boleh dilakukan untuk keperluan dan kebajikan rakyat.
“Kita ada (penggal habis) sampai hujung 2027. Dan dalam masa setahun lebih itu banyak yang boleh kita lakukan untuk selesaikan isu-isu ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat dan sebagainya.
“Jadi saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang minta supaya diadakan pilihan raya awal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, pada 13 September.
Mengulas lanjut, Datuk Mujahid berkata soal perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan sudah dipersetujui pada 2022 menerusi syarat-syarat yang sudah ditetapkan, lapor MalaysiaGazette.
“Jadi saya tidak fikir Perdana Menteri berniat untuk membuang sesiapa. Tapi kalau dia nak pergi, tak ada siapa nak halang,” ujar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
Ditanya persediaan Amanah berdepan PRU16, beliau berkata pihaknya sudah bersedia, namun memberi keutamaan untuk menghabiskan penggal pilihan raya sebelum ini terlebih dahulu.
“Kami menganggap memenuhi penggal itu adalah lebih utama... menjamin kesejahteraan rakyat lebih utama daripada kita nak fikir siapa akan jadi kerajaan selepas ini.
Dalam pada itu, Datuk Muhahid juga memaklumkan bahawa beliau bersedia dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu TH sekiranya dipanggil.
Jelasnya, setakat ini beliau belum menerima sebarang notis rasmi atau didatangi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbuat demikian.
Pendedahan laporan berhubung pengurusan dan operasi Lembaga TH kepada umum, Julai lalu membawa kepada beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti.
Setakat hari ini, empat individu sudah didakwa di mahkamah, manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut mengenai siasatan isu berkenaan, Datuk Mujahid menjelaskan tindakan semasa adalah bersandarkan kepada 14 kes yang dirujuk untuk diambil tindakan lanjut.
Menurutnya, hampir separuh daripada 14 kes tersebut sebenarnya telah dikenal pasti dan dilaporkan kepada pihak polis semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 ketika proses pemulihan TH dijalankan.
“Laporan polis telah pun dibuat pada zaman itu, tetapi tiada tindakan susulan sehinggalah berlaku perubahan kerajaan.
“Jadi hari ini, nampaknya usaha berkenaan diteruskan melalui laporan RCI yang ada,” ujarnya.
