KUALA LUMPUR: Selepas 35 hari bersidang, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menutup tirainya pada 12 Disember, dengan 26 rang undang-undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025 diluluskan.
Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Oktober melibatkan peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia sebanyak RM421 bilion ($127.4 bilion).
Ia selesai dibahas pada peringkat dasar dan jawatankuasa hampir tujuh minggu sebelum diluluskan pada 3 Disember, setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen (AP).
Antara yang diluluskan pada sidang kali ini ialah RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024; RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024; RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024.
Selain itu ialah RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.
RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024; RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024; RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024; RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 juga diluluskan.
Sementara itu, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan untuk memperhalusi dan meneliti perkara terbabit.
Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, berkata RUU itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi bacaan kali kedua pada sidang kali ini, turut ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
Sidang kali ini juga menyaksikan Parlimen Malaysia membuka lembaran baru dalam reformasi institusi apabila buat julung kalinya Pengerusi JKPK diberi peluang membuat penerangan bagi penyata jawatankuasa masing-masing di Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat menyaksikan pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Turut menarik perhatian sidang kali ini ialah penggantungan AP Pendang (Kedah), Datuk Awang Hashim, daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari bermula 5 Disember, susulan kenyataan negatif terhadap Speaker Dewan Rakyat menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg