Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu Pedra Branca: Mahathir dakwa ia keputusan Kabinet

Sedia berdepan sebarang siasatan jenayah; dakwa tindakan bermotif politik bagi musnahkan imejnya
Dec 10, 2024 | 7:12 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan), menunjuk ke arah skrin tentang Pedra Branca semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 10 Disember.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan), menunjuk ke arah skrin tentang Pedra Branca semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 10 Disember. - Foto AFP

PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sedia berdepan sebarang siasatan jenayah susulan hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau yang dua kali menjadi Perdana Menteri berkata hasil laporan RCI berkenaan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.

Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan keputusan berhubung Pedra Branca dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.

“Jika ada sebarang siasatan (jenayah) ke atas saya, saya bersedia. Ya, ini adalah tindakan bermotifkan politik. Keseluruhan idea adalah untuk memusnahkan saya dan memanggil saya pengkhianat.

“Jika ini adalah pengkhianatan, maka seluruh anggota Kabinet (ketika itu) adalah pengkhianat, termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datin Seri Wan Azizah Ismail),” katanya pada sidang media, lapor Berita Harian Malaysia.

Laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diedarkan untuk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat awal sebelum ini, antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Prosiding dicadangkan itu susulan Malaysia kehilangan Pedra Branca kepada Singapura, selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dilapor menyifatkan sebarang kesalahan dalam soal menyerahkan kedaulatan termasuk terkait isu Pedra Branca, adalah pengkhianatan besar kepada negara.

Tanpa merujuk kepada Dr Mahathir, Datuk Anwar berkata pendedahan RCI berkaitan perkara itu jelas menunjukkan wujud kelemahan dan ia bukan perkara ringan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berkaitan Pedra Branca dibuat oleh Kabinet dan perkara itu boleh dirujuk pada minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018.

“Kalau tidak percaya, sila bertanya kepada mereka yang hadir pada mesyuarat Kabinet (ketika itu).

“Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Datuk Seri Mohamad Sabu, (Encik) Anthony Loke, (Encik) Gobind Singh Deo dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak berkata apa-apa?

“Adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen laporan RCI ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau menolak hasil laporan RCI terbabit kerana terdapat banyak kecacatan.

“Saya ingin bertanya dahulu rahsia, sekarang terbuka. Siapa yang bersetuju untuk ia dibuka? Kalau ini sudah dibuka dan bukan lagi ‘rahsia’, maka mengapa kerajaan bantah permohonan saya di mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?

“Laporan ini juga akan dibahaskan, tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 daripada 217 muka surat dipadam (redacted)?

“Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka surat laporan dipadam?” soalnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg