Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penubuhan Majlis Media M’sia dilulus Parlimen selepas 52 tahun diusul

Badan bertujuan perkasa media M’sia termasuk diberi lebih kebebasan dalam laksana tugas
Feb 27, 2025 | 12:09 PM
Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil (depan, tengah), bersama timbalannya, Cik Teo Nie Ching (sebelah kiri Encik Fahmi), bergambar bersama barisan ketua editor dan pengamal media Malaysia selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024.
Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil (depan, tengah), bersama timbalannya, Cik Teo Nie Ching (sebelah kiri Encik Fahmi), bergambar bersama barisan ketua editor dan pengamal media Malaysia selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024. - Foto BERNAMA

Selepas 52 tahun dicadangkan, industri media Malaysia melakar pencapaian baru dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang diluluskan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada 26 Februari.

MMM, yang bertujuan memperkasa media di Malaysia, termasuk diberikan lebih kebebasan dalam melaksanakan tugas, tertakluk kepada kod tatalaku yang akan diwujudkan badan itu kelak.

Ia dijangka mula memainkan peranannya pada pertengahan 2025, selepas lembaga pengasas yang akan mengemudi MMM dibentuk.

Rang Undang-Undang (RUU) MMM itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen (AP) di Dewan Rakyat selepas dibentangkan kali kedua oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Cik Teo Nie Ching, dan dibahaskan oleh 18 AP kerajaan dan pembangkang, pada persidangan 26 Februari.

RUU MMM yang mengandungi 23 Fasal itu antara lain bagi membolehkan penubuhan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media di Malaysia.

Cik Teo berkata cadangan penubuhan jawatankuasa atau pertubuhan bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dan sejak itu kerajaan menerima pelbagai cadangan serupa daripada industri media.

Bagaimanapun, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk menubuhkan MMM hanya dikemukakan kepada Jemaah Menteri pada 6 Disember 2019 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Encik Gobind Singh Deo, dan diluluskan.

Melalui penubuhan MMM, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.

Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, berkata RUU MMM itu akan dibawa ke Dewan Negara, sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan diwartakan.

“RUU MMM ini sangat bersejarah kerana ia mula difikirkan pada 1973. Maka, apa yang dilaksanakan ini boleh dikatakan sudah tertunda 52 tahun,” kata Encik Fahmi pada sidang media sejurus RUU MMM itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong, berkata RUU MMM 2024 itu merupakan satu pencapaian penting dalam landskap media Malaysia selepas lebih 50 tahun perbincangan dan rundingan yang mendalam untuk mewujudkan sebuah majlis khusus bagi hal ehwal media.

Beberapa pertubuhan dan gerakan media antaranya Centre for Independent Journalism (CIJ) pula mengharapkan MMM dapat meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan media, mengukuhkan ekosistem maklumat dan melindungi kebebasan media.

Dalam kenyataan bersama CIJ dan beberapa pertubuhan media lain, MMM dilihat amat penting memandangkan dunia ketika ini dibanjiri dengan pelbagai maklumat tanpa batas.

Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) pula berharap kerajaan meletakkan keutamaan daripada segi penglibatan dan penyertaan penuh warga media dalam majlis itu, terutama ketika membuat dan menentukan keputusan penting demi masa depan industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg