Di sebalik kemeriahan kibaran bendera parti dan laungan kempen yang semakin rancak menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 1 Ogos ini, ramai pengundi di negeri itu membawa bersama senarai harapan yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.

Rata-rata pengundi yang ditemui Berita Harian (BH) di beberapa daerah di negeri itu bukan sahaja mengharapkan penyelesaian terhadap isu yang menyentuh poket dan kebajikan mereka, malahan juga isu yang memudahkan rangkaian hubungan seperti pengangkutan awam, selain kerenah birokrasi dan kesesakan jalan raya.

Sebahagian pengundi juga meletakkan harapan tinggi agar PRN Negeri Sembilan ini dapat mengembalikan kestabilan politik serta dalam masa sama meleraikan krisis Raja dan Adat yang telah berlarutan sejak April lalu.

Tukang gunting rambut, Encik Muhammad Hariz Mohd Zol, 27 tahun.
Tukang gunting rambut, Encik Muhammad Hariz Mohd Zol, 27 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Encik Muhammad Hariz Mohd Zol, 27 tahun, yang juga pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, di bawah Parlimen Seremban, penyediaan rumah mampu milik menjadi antara keutamaan golongan muda sepertinya.

“Harapan saya supaya parti mana pun yang memenangi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos nanti dan menubuhkan kerajaan, perbanyakkan pembangunan rumah mampu milik terutama untuk golongan muda seperti saya yang baru bermula membina kehidupan sendiri.

“Pada akhirnya, rakyat bukan sekadar hendak dengar janji ketika kempen, tetapi mahu lihat hasil dari perubahan yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat yang telah memilih wakil rakyat mereka,” kata tukang gunting rambut itu kepada BH.

Ketika pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 20 Julai lalu oleh Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun, PH mensasarkan membina 20,000 unit rumah mampu milik dan menyelesaikan isu berkaitan tanah, sekiranya PH kembali mentadbir negeri itu.

Sejak 2021, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) di bawah kerajaan PH melaksanakan program Rumah Harapan Rakyat (RHR), yang menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah dengan membina kediaman di atas tanah sendiri.

Sehingga 2024, sebanyak 212 unit RHR siap dibina dan diserahkan kepada peserta, 71 unit diluluskan pada 2025 dan sejumlah RM10 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk 2026 bagi program sama.

Bagaimanapun inisiatif itu masih kecil berbanding lebih 1.24 juta jumlah penduduk di Negeri Sembilan yang berkeluasan kira-kira 6,642 kilometer persegi atau hampir sembilan kali ganda saiz Singapura itu.

Pesara kerajaan, Encik Md Ali Mat, 72 tahun.
Pesara kerajaan, Encik Md Ali Mat, 72 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pesara kerajaan, Encik Md Ali Mat, 72 tahun, yang mengundi di DUN Seri Menanti dalam Parlimen Kuala Pilah – kira-kira setengah jam perjalanan tanpa sesak dari pusat bandar Seremban, isu kesesakan jalan raya dan sistem perpaipan menuntut perhatian kritikal kerajaan.

Katanya, warga Negeri Sembilan terkenal dengan amalan pulang ke kampung hampir setiap hujung minggu, terutama bagi mereka yang bekerja di Lembah Klang.

“Tolonglah kerajaan yang terbentuk nanti, tidak kira PH kekal atau Barisan Nasional (BN) kembali, mengambil alih, utamakanlah dua isu ini.

“Sistem paip yang usang perlu diganti kerana menyebabkan gangguan bekalan air, sementara kesesakan trafik pula menyukarkan penduduk setempat, terutama di Seri Menanti ini, untuk menjalankan urusan harian,” katanya, yang tinggal di Kampung Kuala Parit, Seri Menanti.

Ketika ini, laluan dari Seremban ke Kuala Pilah hanyalah satu lorong sehala,bermula selepas kawasan rekreasi Ulu Bendul, dengan Seri Menanti yang turut menjadi pusat tumpuan pelancong sering sesak dengan kenderaan.

Malah, ia juga menjadi laluan utama untuk kenderaan dari Pahang menuju ke Kuala Lumpur, tanpa perlu melalui lebuh raya bertol.

Bagaimanapun, menurut beliau, kawasan Seri Menanti agak membangun di bawah pentadbiran Datuk Aminuddin, termasuk Perkampungan Budaya Terachi dan mercu tanda Jelapang Padi yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Ahli perniagaan, Encik K Devan, 40 tahun. 
Ahli perniagaan, Encik K Devan, 40 tahun.  - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi ahli perniagaan, Encik K Devan, 40 tahun, yang mengusahakan 12 klinik perubatan swasta di Negeri Sembilan, Melaka dan Lembah Klang, beliau amat mengharapkan kerajaan dapat mengurangkan kerenah birokrasi di pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama untuk urusan pembukaan perniagaan di negeri itu.

“Saya perlu akui di era kerajaan PH ini, prosedur terlalu sulit berbanding pada era BN. Saya ada 12 klinik di beberapa negeri termasuk Lembah Klang dan Melaka, tetapi tidak pernah berdepan kerenah birokrasi seteruk di Negeri Sembilan.

“Ia tidak berbaloi dan mengesankan pengusaha seperti kami,” katanya, yang akan mengundi di DUN Kepayang, Seremban.

Perkara itu turut diakui pekerja swasta, Encik Mohd Azhar Jasmi, apabila jualan burger kecil-kecilan di kawasan rumahnya terpaksa ditutup kerana syarat PBT di bawah pentadbiran PH, yang didakwanya terlalu ketat berbanding era kerajaan BN.

“Ketika zaman BN, kerajaan galakkan kami berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan isi rumah, dan saya usahakan perniagaan burger untuk membantu kakak – seorang ibu tunggal yang perlu menyara lima anaknya.

“Tetapi akhirnya saya terpaksa tutup perniagaan itu kerana tidak dibenarkan berniaga di kawasan rumah oleh PBT,” kata pengundi DUN Paroi, Seremban itu.

Pengundi DUN Chennah di bawah Parlimen Jelebu, yang juga pesara guru, Encik Chan Lock Yean, pula tidak lagi mahu memandang pembangunan fizikal, sebaliknya hanya mahu memilih calon yang mudah dihubungi dan didekati.

Pesara, Cik Ani Ahmad, 60 tahun.
Pesara, Cik Ani Ahmad, 60 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Cik Ani Ahmad, 60 tahun, yang akan mengundi di DUN Labu di bawah Parlimen Rasah pula, harga kediaman yang terlalu tinggi bermula antara RM400,000 ke atas seunit, membataskan golongan muda di negeri itu untuk memiliki rumah.

Justeru beliau mengharapkan lebih banyak inisiatif kerajaan yang mengkhusus kepada sektor perumahan di negeri itu.

Selain itu beliau turut mengimpikan Seremban menjadi hab pengangkutan awam, sebagaimana KL Sentral di Kuala Lumpur.

Seremban, ibu negeri Negeri Sembilan, terletak kira-kira 80 kilometer dari Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Bagi saya, Seremban sepatutnya sudah membangun seiring seperti Shah Alam di Selangor, namun kekurangan kemudahan pengangkutan awam membataskan ibu negeri ini untuk membangun lebih pesat.

“Ya, kita tahu kerajaan sedang membangunkan Seremban Sentral, yang bakal menjadi hab pengangkutan dan komersial baharu dan mengurangkan kesesakan di bandar Seremban.

“Tetapi harapan kita jika kerajaan bertukar sekali pun, projek ini tetap diteruskan demi manfaat warga Negeri Sembilan,” katanya.

Seremban Sentral adalah projek pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang sedang dibangunkan berhampiran Stesen Keretapi Seremban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2 bilion.

Menteri Pengangkutan, yang juga Ahli Parlimen Seremban, Encik Anthony Loke, yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan bagi mempertahankan kerusi DUN Chennah, pada 21 Julai, berkata Seremban Sentral kini mencapai kemajuan 35 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027.

Menurut beliau, sebaik siap, stesen itu mampu menampung kira-kira 30,000 penumpang sehari pada peringkat awal, dengan keupayaan untuk dikembangkan kepada 120,000 penumpang sehari menerusi pembinaan enam platform pada masa depan.

Ia sekali gus menjadi mercu tanda baharu sistem pengangkutan awam di Negeri Sembilan.

Selain perkhidmatan komuter, Seremban juga menjadi transit untuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), yang menghubungkan bandar itu ke destinasi utara sehingga Perlis dan selatan, termasuk Johor Bahru.

Juruteknik, Encik Muzaffar Ahmad, 33 tahun.
Juruteknik, Encik Muzaffar Ahmad, 33 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Lain pula harapan dikongsikan juruteknik, Encik Muzaffar Ahmad, 33 tahun, yang akan mengundi di DUN Sungai Lui, di Jempol.

Bagi beliau pembangunan yang melimpah tidak bermakna jika perpaduan kaum semakin terhakis.

“Alhamdulillah Negeri Sembilan ada pembangunan, cuma sekarang ini yang menjadi kebimbangan saya ialah politik yang menghakis perpaduan kaum di negeri dan negara ini.

“Hubungan antara kaum sekarang sudah tidak seperti dulu sebab politik sekarang terlalu perkauman. Jadi saya mohon wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjaga kesepaduan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini,” katanya, ketika ditemui BH.

Namun, beliau berharap kerajaan memperluaskan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar supaya golongan belia tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki, sekali gus mengelakkan kampung kehilangan penduduk serta tenaga kerja muda.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini akan menyaksikan 103 calon bertanding merebut 36 kerusi DUN, dengan pertembungan parti utama PH dengan BN-Perikatan Nasional, dan penyertaan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa); Parti Orang Asli Malaysia (Asli); Parti Sosialis Malaysia dan calon Bebas. 

Pengundian awal untuk anggota polis dan tentera pula ditetapkan pada 28 Julai.

“Harapan saya supaya parti mana pun yang memenangi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos nanti dan menubuhkan kerajaan, perbanyakkan pembangunan rumah mampu milik terutama untuk golongan muda seperti saya yang baru bermula membina kehidupan sendiri. Pada akhirnya, rakyat bukan sekadar hendak dengar janji ketika kempen, tetapi mahu lihat hasil dari perubahan yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat yang telah memilih wakil rakyat mereka.”
Encik Muhammad Hariz Mohd Zol, 27 tahun, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

“Tolonglah kerajaan yang terbentuk nanti, tidak kira PH kekal atau Barisan Nasional (BN) kembali, mengambil alih, utamakanlah dua isu ini. Sistem paip yang usang perlu diganti kerana menyebabkan gangguan bekalan air, sementara kesesakan trafik pula menyukarkan penduduk setempat, terutama di Seri Menanti ini, untuk menjalankan urusan harian.” 
Encik Md Ali Mat, 72 tahun, pengundi di DUN Seri Menanti.

“Bagi saya, Seremban sepatutnya sudah membangun seiring seperti Shah Alam di Selangor, namun kekurangan kemudahan pengangkutan awam membataskan ibu negeri ini untuk membangun lebih pesat… Tetapi harapan kita jika kerajaan bertukar sekali pun, projek ini (membangunkan hab pengangkutan, Seremban Sentral) tetap diteruskan demi manfaat warga Negeri Sembilan.”
Cik Ani Ahmad, 60 tahun, pengundi di DUN Labu.

“Saya perlu akui di era kerajaan PH ini, prosedur terlalu sulit berbanding pada era BN. Saya ada 12 klinik di beberapa negeri termasuk Lembah Klang dan Melaka, tetapi tidak pernah berdepan kerenah birokrasi seteruk di Negeri Sembilan. Ia tidak berbaloi dan mengesankan pengusaha seperti kami.”
Encik K Devan, 40 tahun, pengundi di DUN Kepayang.