Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Besar sementara Negeri Sembilan pertahan percaturan politik tukar kerusi ditandingi
Menteri Besar sementara Negeri Sembilan pertahan percaturan politik tukar kerusi ditandingi
Menteri Besar sementara Negeri Sembilan pertahan percaturan politik tukar kerusi ditandingi
SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mempertahankan keputusannya berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sebagai percaturan politik untuk membantu gabungan itu memperoleh kemenangan lebih selesa.
Datuk Aminuddin, yang sebelum ini dilihat berada dalam kem mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli ketika pemilihan parti itu, berkata beliau tidak bimbang sekiranya ada pihak menganggap langkah mencabar kubu kuat BN itu sebagai usaha menamatkan kerjaya politiknya.
Menteri besar sementara Negeri Sembilan itu menjelaskan keputusan berkenaan bukan arahan pucuk pimpinan, sebaliknya dibuat atas kehendaknya sendiri meskipun sebelum ini menyandang DUN Sikamat.
“Ini bukan arahan tetapi saya yang menawarkan diri, saya ditanya oleh pimpinan dua, tiga kali betul kamu nak ke Linggi, saya katakan ini saya telah buat keputusan.
“Isunya bukan kem mana, kem A ke kem B ataupun kem Rafizi, tetapi bagi saya yang penting adalah pastikan bahawa PH menang pada pilihan raya kali ini,” katanya pada sidang media di Port Dickson, Negeri Sembilan, lapor portal berita, Malaysiakini.
Linggi merupakan satu dari lima DUN di bawah Parlimen Port Dickson yang kini diwakili Datuk Aminuddin di peringkat Persekutuan.
Kerusi itu dimenangi calon BN, Encik Mohd Faizal Ramli, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023, selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Zambri Mat Said.
PH tidak bertanding di Linggi ketika itu berikutan kerjasama pilihan raya dengan BN, menyusuli pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Kali terakhir PH bertanding di Linggi adalah pada PRU 2018, apabila gabungan itu menduduki tempat kedua.
Bagaimanapun, keputusan bagi kawasan mengundi Linggi dalam pertandingan Parlimen Port Dickson pada PRU-15 menunjukkan sokongan yang agak seimbang.
PH memperoleh 36 peratus undi, diikuti BN dengan 33 peratus dan PN sebanyak 29 peratus.
Pada PRN 2023, ketika BN dan PH bekerjasama, Umno memenangi Linggi dengan 55 peratus undi, manakala PN memperoleh 45 peratus.
Peningkatan sokongan terhadap PN dipercayai turut didorong undi protes penyokong Umno yang tidak selesa dengan kerjasama BN-PH.