Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik kes bunuh yang kian menjadi-jadi di M’sia

Aug 25, 2024 | 5:30 AM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pada 17 Ogos lalu, mayat Nuraina Humaira Rosli, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang sebelumnya dilaporkan hilang semalaman, ditemui di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah di Sungai Siput, Perak.

Mayat dijumpai kira-kira 4.20 petang, hasil operasi mencari yang digerakkan sebelum seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pada 12 Ogos, polis mengesahkan mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki, yang ditemui dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau di Pulau Sebang, Melaka, pada Januari lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33 tahun, guru yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.

Pada 19 Ogos, peniaga mata wang asing, Mohd Fadzly Ariffadzilah yang juga kenalan mangsa dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh guru berkenaan.

Pada 20 Ogos pula, penganggur yang terbabit dalam kes bunuh dan bakar rumah hingga mengorbankan ibu dan bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh, di Muar, Johor, pada minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Muar.

Azman Mohamed Nor, 48 tahun, berdepan tuduhan membunuh ibu, Ara Abd Hamid, 76 tahun, dan bapa, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 tahun, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11 tahun, dalam kejadian antara 1 hingga 3 pagi 9 Ogos lalu.

Hujung 2023 pula, mayat kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, kira-kira 10 malam pada 6 Disember 2023.

Senarai di atas antara kes kematian tragis, disyaki ada kaitan dengan pembunuhan atau unsur jenayah yang dilaporkan di Malaysia kebelakangan ini.

Menjelaskan perkembangan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada 21 Ogos berkata kebanyakan kes bunuh di negara itu kebelakangan ini membabitkan mangsa dan suspek yang saling mengenali melalui hubungan kekeluargaan atau persahabatan, lapor Berita Harian Malaysia.

Katanya, kes bunuh yang disiasat kebelakangan ini mempunyai faktor sama, iaitu mangsa dan suspek saling mengenali dengan motif utama disebabkan hubungan berubah menjadi tidak baik, masalah perniagaan atau kerana penggunaan bahan terlarang seperti dadah.

“Ada pihak mempersoalkan Malaysia tidak lagi aman, tidak selamat akibat kes bunuh, namun kebanyakan kes ini membabitkan pihak yang saling mengenali,” katanya ketika ditemui media selepas satu acara di Kuala Lumpur.

Beliau memberi contoh kes kematian Zayn Rayyan, pembunuhan Istiqomah dan sepasang suami isteri bersama cucu mereka di Pagoh, serta budak perempuan usia 10 tahun disyaki dirogol dan dibunuh di Sungai Siput.

“Ramai tanya mengapa lepas satu, satu kes bunuh berlaku. Ini mudah untuk diperkatakan, tetapi ada harga untuk modenisasi dengan zaman yang serba canggih pada masa ini,” katanya sambil menambah bahawa kes pembunuhan secara spontan atau mengejut membabitkan mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali, amat sedikit dan kecil.

Datuk Mohd Shuhaily memberi contoh, kes samun yang kemudian menjadi kes bunuh memang berlaku, tetapi pada kadar begitu kecil berbanding negara lain.

Sementara itu, beliau berkata kes orang hilang (OH) yang dilaporkan berlaku di Malaysia juga masih berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan.

Ini disebabkan sebahagian besar kes hilang yang dilaporkan adalah membabitkan golongan remaja yang dipengaruhi rakan mereka, menyebabkan mereka melarikan diri dari rumah.

Datuk Mohd Shuhaily berkata pihaknya bagaimanapun tidak pernah sesekali menutup atau menghentikan mana-mana kes OH yang masih belum ditemui.

“Seperti yang sering dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan saya sendiri sebelum ini, bahawa kes OH ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan.

“Namun sekali lagi saya tegaskan bahawa stigma yang masyarakat perlu menunggu 24 jam untuk membuat laporan berkaitan kes OH saya rasa tidak wujud.

“Sekiranya ada mana-mana ahli keluarga, waris atau kenalan yang mengesyaki adanya perbuatan jenayah berhubung kes orang hilang, mereka ini diminta membuat laporan polis seberapa cepat yang mungkin,” tambahnya.

Datuk Mohd Shuhaily berkata beliau telah mengarahkan semua pegawai dan anggota JSJ untuk bertindak segera terutama terhadap mana-mana kes OH yang membabitkan kanak-kanak.

“Ini kerana dalam satu jam yang pertama kes OH itu adalah amat penting untuk kita bertindak, bukan hanya satu jam, dalam setengah jam pun macam-macam benda boleh berlaku dan itu penting untuk kita (JSJ) bertindak cepat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg