Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik polemik sijil halal di M’sia

Pihak berkuasa perlu pastikan proses dapatkan sijil halal tidak bebankan peniaga bukan Islam
Sep 22, 2024 | 5:30 AM
Dengan jumlah penduduk Muslim sebagai majoriti di Malaysia, premis serta produk makanan dan minuman yang memiliki sijil halal memberi nilai tambah yang besar dalam pertumbuhan perniagaan mereka. 
Dengan jumlah penduduk Muslim sebagai majoriti di Malaysia, premis serta produk makanan dan minuman yang memiliki sijil halal memberi nilai tambah yang besar dalam pertumbuhan perniagaan mereka.  - Foto BERNAMA

Hiruk-pikuk di Malaysia selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, mengumumkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Cadangan itu bangkit selepas timbul isu beberapa premis makanan terkenal milik ‘tauke’ bukan Islam yang sering menjadi tumpuan pelanggan Muslim, disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak memiliki sijil halal.

Maka, panaslah isu mengenai halal haram terutama dalam kalangan masyarakat Islam, sehingga mengundang cadangan mewajibkan pensijilan halal di restoran milik bukan Islam yang mensasarkan pelanggan Muslim.

Sedar atau tidak, sejak sekian lama, industri halal di Malaysia meraih pengiktirafan dunia.

Mengangkat Islam sebagai agama rasmi walaupun penduduknya berbilang kaum dan agama, menjadikan Malaysia rujukan banyak negara luar dalam pengurusan halal.

Daripada 34 juta penduduk di Malaysia, etnik Melayu yang diketahui majoritinya beragama Islam membentuk 58 peratus penduduk, manakala 22.6 peratus adalah penduduk kaum Cina dan India (6.6 peratus), manakala selebihnya pelbagai kaum lain.

Justeru, pentingnya isu pensijilan halal ini selaras dengan status Malaysia yang dikenali dunia sebagai hab makanan halal.

Malah, permintaan terhadap makanan halal di Malaysia jauh lebih tinggi kerana bagi umat Islam, mencari yang halal itu wajib.

Bukan saja daripada aspek makanan dan minuman, bahkan mencakupi seluruh keperluan hidup baik pakaian, ubatan, kosmetik dan banyak lagi.

Mudahnya mendapatkan makanan halal di Malaysia juga membolehkan negara itu kekal di tangga teratas buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023.

Malaysia juga terus unggul sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 dan Destinasi Mesra Muslim Terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), pada majlis Halal in Travel Awards di Singapura, baru-baru ini.

Itu antara pengiktirafan terkini yang dilakar ketika Malaysia belum mewajibkan pensijilan halal.

Ketika ini, pensijilan halal adalah berbentuk sukarela.

Sebenarnya, dengan jumlah penduduk Muslim sebagai majoriti di Malaysia, premis serta produk makanan dan minuman yang memiliki sijil halal memberi nilai tambah yang besar dalam pertumbuhan perniagaan mereka.

Restoran dan produk makanan yang mempunyai sijil halal sudah pasti menjadi pilihan pelanggan Muslim tanpa ragu.

Memang benar masih banyak premis makan minum diusahakan peniaga Muslim tidak memiliki sijil halal.

Ini berlandaskan keyakinan peniaga dan pelanggan Muslim bahawa penyedia makanan bertanggungjawab memastikan aspek halal yang menyeluruh merangkumi sumber bahan mentah, bahan serta peralatan digunakan.

Berdasarkan rekod Halal Development Corporation, peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal bersepadu di Malaysia, 72 peratus pemegang pensijilan halal Jakim adalah usahawan bukan Islam.

Ini menunjukkan kesedaran pengusaha bukan Islam bahawa sebahagian besar pelanggan mereka adalah masyarakat Islam, sekali gus memerlukan mereka memastikan produk ditawarkan bebas syubhah untuk pelanggan Muslim dan dalam masa sama masih mendapat sokongan pelanggan bukan Islam.

Pentingnya ‘istilah’ halal ini kepada usahawan bukan Islam juga terbukti apabila banyak premis makanan dan minuman di Malaysia meletakkan papan tanda no pork, no lard, no alcohol atau Muslim Friendly (mesra Muslim), bagi meyakinkan pelanggan Muslim bahawa produk mereka tidak mengandungi bahan terlarang atau haram.

Namun, kriteria itu tidak cukup untuk dijadikan ukuran halal sesuatu makanan atau minuman.

Selain itu, banyak produk makanan dan minuman dikeluarkan peniaga bukan Islam menyalahgunakan penjenamaan bercirikan imej Islam pada pembungkusan.

Antaranya menggunakan gambar masjid dan tulisan jawi, tidak kurang yang meletakkan jenama yang menyamai nama dalam Islam seperti bilal, Aminah, Ali, Ahmad dan sebagainya.

Tidak dinafikan, masih ada pengguna Islam kurang cakna (peka) akan isu halal ini. Maka tanpa mempamerkan sijil halal pun, perniagaan bukan Islam terutama yang menggaji pekerja Muslim, masih terima ramai pelanggan.

Berdasarkan pengalaman, saya melihat situasi berbeza di Singapura.

Pelanggan Islam lebih peka dan tidak sewenangnya menerjah masuk premis makanan yang tidak mempamerkan logo halal. Ini difahami berikutan jumlah pengusaha makanan bukan Islam di Singapura lebih ramai.

Ketika bercuti ke Malaysia, ramai kenalan saya bertegas tidak akan menjengah kedai yang tidak mempunyai logo halal, walaupun di dalamnya penuh dengan pekerja dan pelanggan bertudung.

Persoalannya, jika ramai pengusaha bukan Islam sedar manfaat perniagaan mereka memiliki sijil halal, mengapa isu itu mengundang polemik?

Cuma pihak berkuasa perlu pastikan proses mendapatkan sijil halal tidak membebankan.

Dengan amalan pensijilan halal yang baik terutama bagi sektor makanan dan minuman, ia bukan saja memenuhi keperluan pengguna Islam sejagat, tetapi juga membuka pasaran global yang lebih luas, mengambil kira jumlah penduduk Islam dunia melebihi dua bilion setakat ini.

Pengguna bukan Islam juga semakin cenderung memilih makanan halal kerana halal tidak hanya melibatkan status pemakanan yang dibolehkan Islam, sebaliknya menjamin pemilihan makanan yang berkualiti dan penyediaan yang bersih, serta bebas bahan yang boleh menjejas kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg