JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat untuk membantu siasatan kes sindiket kartel kerja perolehan membabitkan sebuah kem TLDM di sini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 42 dan 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor, kira-kira 4 petang, 13 Februari.
Katanya, sebelum ini SPRM menahan tiga individu atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM membabitkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta ($2.54 juta).
Katanya, pembayaran penuh dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8.30 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 18 Januari lalu, akhbar itu melaporkan tiga individu yang dipercayai terbabit sebagai orang tengah sindiket kartel kerja perolehan membabitkan sebuah kem TLDM ditahan SPRM.
Suspek lelaki yang berusia lingkungan 28 hingga 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor.
“Penahanan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dibuat atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM di negeri ini.
“Ia membabitkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta dengan pembayaran penuh telah dibuat sedangkan pembinaan masih belum siap dengan sempurna,” lapor BHM, memetik sumber.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg